Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Subsidi: Kenyataan ketua Penerangan PAS separuh masak - Kamil Munim

Dakwaan Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari berhubung cadangan kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun depan, dilihat sebagai cubaan mewujudkan naratif palsu bagi mengelirukan rakyat.

Setiausaha Politik Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim berkata sebagai seorang pemimpin, Ahmad Fadhli seharusnya memahami dan meneliti cadangan berkenaan secara menyeluruh sebelum mengeluarkan kenyataan bersifat "separuh masak".

“Mengapa (Ahmad Fadhli) tidak menyebut sekali subsidi penyasaran berkenaan lebih tertumpu kepada usaha untuk menghentikan penggunaan 40 peratus bahan api bersubsidi oleh golongan T15 dan warga asing? Itulah ibu segala isi cadangan kerajaan.

“Malah, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menegaskan jaminan 85 peratus rakyat terbanyak tidak akan terkesan dengan cadangan itu. Perkara ini tidak diceritakan, yang diceritakan ialah kisah ‘separuh masak’ iaitu kerajaan nak tarik subsidi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada Jumaat lepas, Ahmad Fadhli yang merupakan Ahli Parlimen Pasir Mas dalam satu hantaran di laman Facebook mendakwa jangkaan penarikan subsidi RON95 dilaksanakan selepas kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada 28 Sept menjadi kenyataan.

Muhammad Kamil berkata hingga kini pembangkang bukan sahaja gagal memberikan kritikan membina, sebaliknya kerap mewujudkan spekulasi jahat bagi membangkitkan kebencian rakyat terhadap kerajaan.

“Kerajaan berdepan cabaran dan asakan berlandaskan fitnah dan kecaman kerana hasutan mereka membangkitkan emosi, sikap prasangka serta kebencian dan bukannya menggunakan pertimbangan rasional,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata rakyat tidak perlu bimbang kerana ketetapan dibuat kerajaan berhubung penyasaran subsidi berkenaan bertujuan membetulkan ketempangan amalan subsidi pukal yang memberi manfaat kepada kelompok kaya dan warga asing.

"Malah, kerajaan juga menegaskan penjimatan itu akan dimanfaatkan untuk kesejahteraan rakyat terbanyak, membiayai pembangunan kemudahan pendidikan, kesihatan serta pengangkutan awam di negara ini,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS