Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
RUU Mufti: Na'im hormati pandangan Asri tapi enggan ulas ajakan dialog
Diterbitkan:  Oct 20, 2024 8:26 PM
Dikemaskini: 12:26 PM

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Nai'm Mokhtar enggan mengulas ajakan dialog yang disuarakan Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin berkaitan Rang Undang-Undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan 2024.

Menurut Mohd Naim dia menghormati pandangan semua pihak berkaitan RUU itu tetapi menegaskan perbezaan pendapat yang tidak diurus dengan baik boleh memecahbelahkan umat Islam.

"Saya menghormati pandangan semua orang, masing-masing ada pandangan hendak disuarakan dan saya hormati, jadi saya tiada komen (mengenai kritikal terhadapnya dan ajak berdialog).

"Apa pun, banyak perpecahan yang berlaku dalam kalangan umat Islam bermula daripada perbezaan pendapat yang tidak diuruskan dengan sebaiknya," katanya dipetik Berita Harian.

Mohd Na'im berkata demikian selepas menyempurnakan program Seminar Adabul Ikhtilaf Peringkat Negeri Perak 2024: Adab Perbezaan Pendapat dalam Islam di Dewan Jubli Perak, Politeknik Ungku Omar, di Ipoh hari ini.

Dia dimnita mengulas berhubung kenyataan Mohd Asri sebelum ini yang mengajak berdialog berhubung RUU berkenaan.

Bacaan pertama rang undang-undang itu dilakukan pada Julai lalu dan merupakan salah satu daripada tiga rang undang-undang berkaitan hal ehwal Islam yang sedang dibentangkan untuk pindaan.

RUU ini digubal antaranya untuk memberi takrifan kepada Ahli Sunnah wal Jamaah yang sudut akidahnya bersumberkan aliran Asyairah dan Maturidiah.

Bagaimanapun RUU itu dikritik beberapa pihak, termasuk Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail, yang menyifatkannya sebagai membawa “tafsiran sempit” dan tidak inklusif mengenai Ahli Sunnah wal Jamaah.

Pada 14 Okt lalu, Mohd Asri dalam satu hantaran di Facebook meminta media rasmi kerajaan memberi ruang kepadanya untuk berdialog dengan Mohd Na'im supaya rakyat dapat menilai kemampuan menteri berkenaan.

"Menteri agama sepatutnya membawa agenda keluasan dan kesederhanaan yang selaras dengan idea Madani.

"Malangnya beliau seakan sedang membawa negara ini ke kancah kafir-mengkafir, sesat menyesatkan seperti yang pernah dilakukan oleh Ibn Tumart.

"Apa kata jika media rasmi kerajaan memberi ruang saya berdialog dengan menteri agama secara terbuka disaksikan rakyat tanda beliau berupaya mempertahankan ideanya?" kata Mohd Asri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS