Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis rakam keterangan, bawa anak Abuya ke lokasi dakwa dikurung

Polis hari ini membawa anak kepada bekas pemimpin Al-Arqam Ashaari Muhammad, Ummu Atiyah ke lokasi dia mendakwa dikurung kira-kira sebulan di penempatan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di Batu Hampar, Perak.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata wanita berumur 41 tahun itu tiba di Balai Polis Padang Gajah, Perak pada 11 pagi untuk dirakam keterangan sekali lagi berhubung dakwaan berkenaan, sebelum dibawa ke lokasi untuk tujuan pengecaman.

Beliau berkata hasil rakaman mendapati mangsa menyatakan telah dikurung di rumah terbabit sebelum dihantar kepada neneknya di Kedah.

"Mangsa menyatakan tidak berlaku sebarang kejadian rogol, cabul atau kecederaan fizikal semasa dikurung. Dia juga cuba melarikan diri, namun telah ditangkap dan dikurung semula," katanya ketika dihubungi.

Razarudin berkata proses pengecaman di lokasi kejadian berjalan lancar sebelum mangsa dibenarkan pulang.

Beliau berkata penempatan berkenaan telah diserbu dan beberapa kanak-kanak turut diselamatkan menerusi beberapa siri serbuan Op Global yang bermula 11 Sept lepas.

Terdahulu, wanita berkenaan yang merupakan anak sulung pemimpin Al-Arqam itu dibawa ke lokasi kejadian pada 2.38 petang diiringi lima kenderaan polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping.

Mangsa yang memakai baju kebarung berwarna kelabu dilihat membawa anggota polis ke lokasi kejadian yang dipercayai sebuah rumah satu tingkat di dalam penempatan terbabit, dan beberapa lokasi lain.

“Terima kasih, saya nak balik KL (Kuala Lumpur),” katanya ringkas ketika ditemui pemberita sebelum meninggalkan lokasi pada 3.07 petang tadi.

Difahamkan, siasatan di lokasi kejadian diketuai Pegawai Penyiasat Kanan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Taiping ASP N Suder bersama 10 anggota polis.

Semalam, Razarudin berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan Ummu Atiyah yang dikatakan pernah menjadi mangsa penindasan serta dikurung ahli GISBH.

Beliau berkata pihaknya telah merakam keterangan wanita itu di Balai Polis Kuala Sungai Baru, Melaka pada 24 Sept lepas.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS