Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Pastikan tiada kerak, nasi boleh dimakan - Rafidah
Diterbitkan:  Oct 20, 2024 6:15 PM
Dikemaskini: 10:15 AM

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Rafidah Aziz mengingatkan kerajaan agar memastikan pelaksanaan Belanjawan 2025 bebas daripada ketirisan, penyelewengan dan pembaziran.

Dalam satu kenyataan, Rafidah mengucapkan tahniah atas pembentangan belanjawan terbesar dalam sejarah negara namun menekankan keperluan pemantauan ketat agar perbelanjaan mencapai matlamat sebenar.

"Ada pesanan orang tua-tua bahawa besar periuk, besarlah pula keraknya. Kerak hangus dan tidak boleh dimakan, merupakan satu pembaziran.

"Maka kerajaan perlu pastikan, antara lain kerak nasi tidak ada... dan semua nasi boleh dimakan," katanya.

Jelas Rafidah, “kerak “ yang dimaksudkan antara lain ialah kebocoran dan ketirisan perbelanjaan serta peruntukan.

Ini termasuk lencongan peruntukan kepada "orang tengah", tiada analisa kos dan faedah serta proses untuk mengesan arah aliran perbelanjaan bagi mengelakkan pembaziran.

Selain itu, katanya, ketirisan boleh berlaku jika tiada mekanisme mengesan setiap perbelanjaan dan peruntukan serta lemahnya sistem pengawasan.

"Ada jabatan-jabatan yang tiada sistem-sistem yang efektif untuk mendapat laporan berkala, dalam usaha mengesan setiap bentuk dan jumlah perbelanjaan dari peruntukan yang disediakan.

"Contohnya, projek-projek infrastruktur dan bekalan peralatan seperti untuk angkatan-angkatan tentera udara, laut, dan darat," katanya.

Rafidah berkata tidak dipertikaikan Belanjawan 2025 dirumus dengan niat baik, tetapi pelaksanaannya mesti diberi perhatian serius dan teliti.

"Jika tidak setiap kebocoran, lencongan, ketirisan dan pembaziran akan merupakan beban kos kepada rakyat, dan penjejasan kepada Malaysia, negara kita.

"Membanteras korupsi dan rasuah pasti bermula dengan niat yang baik. Tetapi niat itu mesti seterusnya disusuli dengan tindakan dan usaha yang serius dan komited.

“Rakyat tidak mampu dan tidak sanggup melihat nasi dalam periuk semakin tebal keraknya," katanya.

Jumaat lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan membentangkan Belanjawan 2025 bertemakan 'Ekonomi Madani, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera', di Dewan Rakyat.

Sejumlah RM421 bilion diperuntukkan merangkumi sekitar 20.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), dengan RM335 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus, manakala RM86 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS