Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kerajaan perlu pertahan kebebasan bersuara rakyat, kata MCA
Diterbitkan:  Oct 20, 2024 2:29 PM
Dikemaskini: 6:54 AM

Presiden MCA Wee Ka Siong menggesa kerajaan agar mempertahankan hak kebebasan bersuara rakyat Malaysia.

Dalam ucapan perasmian perhimpunan agung tahunan MCA hari ini, Wee meminta pengerusi BNAhmad Zahid Hamidi, yang hadir di perhimpunan itu, untuk menyampaikan gesaan itu kepada pihak yang berkaitan.

"Dalam dewan ini pun ramai yang video mereka kena padam di media sosial. Contohnya Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon. Berapa video sudah kena potong atau kena buang?

"Pemimpin pemuda MCA ramai lagi kena, apa ini? Hak bersuara dan kebebasan rakyat kita wajib dipelihara dan dipertahankan.

"Janganlah disebabkan perbezaan pandangan, nak musnahkan kesuburan demokrasi," katanya di Dewan San Choon di Wisma MCA di Kuala Lumpur, hari ini.

Pada Februari lalu, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching menafikan dakwaan bahawa kerajaan mengamalkan penapisan, di tengah dakwaan kandungan yang mengkritik kerajaan dibuang di media sosial.

Teo ketika itu memberitahu Dewan Rakyat yang kerajaan tiada kawalan terhadap platform media sosial dan mereka tidak tertakluk kepada arahan kerajaan.

Pada Mac tahun lepas, TikTok Malaysia memberi jaminan yang arahan kerajaan bukan faktor penentu dalam operasinya berkaitan kandungan, sebaliknya ia berpandukan garis panduan sendiri.

Dalam ucapannya, Wee juga mendakwa kerajaan-kerajaan yang ditubuhkan selepas kejatuhan BN pada PRU18 masih mengekalkan unsur dasar yang diperkenalkan ketika gabungan itu mentadbir negara.

Ia walaupun parti-parti lain yang berada dalam kerajaan persekutuan pernah mengkritik dasar-dasar tersebut.

Katanya, ini walaupun pihak lain sebelum ini telah mengkritik dasar yang sama.

"Kalau teruskan idea dan dasar BN, kenapa dulu kutuk dan fitnah serta hasut rakyat membenci BN?

"Contohnya Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang didakwa sebagai rasuah telah digunakan semula dengan dinamakan semula sebagai Bantuan Tunai Rahmah (STR),” katanya.

Dia turut membangkitkan sistem e-invois yang sebelum ini dilaksanakan BN sebagai sebahagian daripada sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Wee turut mengulangi gesaannya agar GST dilaksanakan semula.

Minggu lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata GST hanya akan dikembalikan jika ambang gaji minimum meningkat sekurang-kurangnya kepada RM3,000 hingga RM4,000.

GST diperkenalkan ketika pentabdiran Najib Razak pada 2015 dengan kadar enam peratus. Pelaksanaan itu menerima bantahan orang ramai,

Dr Mahathir Mohamad kemudian memansuhkan GST selepas PH menang pada pilihan raya umum 2018.

Pengecualian cukai Utar

Selain itu, Wee menggesa agar Universiti Tunku Abdul Rahman (Utar) menjadi institusi yang dikecualikan cukai di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.

Walaupun kerajaan telah memberikan pengecualian cukai dan menghapuskan tunggakan cukai dan penalti sebanyak RM83 juta yang ditanggungnya, Wee berkata akar kepada permasalahan itu belum diselesaikan.

Zahid ketika mengulas perkara itu berkata dia akan memperjuangkan perkara itu bersama-sama MCA.

Dia juga berkata kerajaan bersetuju memberikan pengecualian cukai kepada Yayasan Pendidikan Utar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS