Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Prabowo Subianto mengangkat sumpah sebagai presiden Indonesia bagi penggal 2024-2029 di Parlimen Indonesia hari ini.

Majlis itu turut disaksikan pemimpin asing dan wakil khas, termasuk Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim.

Lafaz sumpah di hadapan anggota Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR) juga dihadiri para tokoh nasional, pemimpin parti politik dan pihak kedutaan.

Prabowo, 73, melafazkan: "Demi Allah, saya bersumpah akan memenuhi kewajiban presiden Republik Indonesia dengan sebaik-baiknya dan seadil-adilnya, memegang teguh Undang-Undang Dasar dan menjalankan segala undang-undang dan peraturannya serta berbakti kepada nusa dan bangsa.”

Anwar merupakan antara 19 pemimpin dan ketua negara asing yang diundang ke majlis itu termasuk Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, Presiden Filipina Ferdinand Romualdez Marcos Jr, Perdana Menteri Serbia Milos Vucevic, Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong dan Perdana Menteri Timor-Leste Xanana Gusmao.

Prabowo bersama Anwar Ibrahim

Prabowo kini memegang jawatan sebagai presiden negara demokrasi ketiga terbesar di dunia berdasarkan populasi, susulan kemenangan Pilihan Raya Presiden 2024 pada 14 Februari dengan memperoleh 59 peratus undi.

Dia bersama Naib Presiden Gibran Rakabuming Raka, 37, berjaya menewaskan pencabar mereka, Anies Baswedan dan Ganjar Pranowo, yang masing-masing meraih kira-kira 25 peratus dan 16 peratus undi.

Prabowo, bekas jeneral dan menteri pertahanan, menjadi presiden ketiga yang berlatar belakang ketenteraan selepas Soeharto dan Susilo Bambang Yudhoyono.

Dia juga mencatat sejarah sebagai presiden tertua di Indonesia ketika dilantik, mengetepikan Presiden ketiga BJ Habibie yang dilantik pada usia 61 tahun.

Sementara itu, Gibran pula menjadi naib presiden termuda, berbanding naib presiden pertama Mohammad Hatta yang ketika itu berusia 43 tahun.

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS