Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gaji minimum naik lebih banyak ketika pentadbiran Ismail Sabri, kata PSM
Diterbitkan:  Oct 20, 2024 12:53 PM
Dikemaskini: 6:00 AM
1

PSM membandingkan kenaikan gaji minimum yang lebih tinggi ketika pentadbiran Ismail Sabri Yaakob iaitu sebanyak RM300, berbanding kerajaan sekarang dengan kenaikan hanya RM200.

Dala satu video di TikTok, Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan menyuarakan kekecewaan dengan kenaikan gaji minimum, daripada RM1,500 kepada RM1,700, seperti yang diumumkan ketika pembentangan Belanjawan 2025 Jumaat lalu.

“Ketika Ismail Sabri jadi PM, dia naikkan gaji minimum (sebanyak) RM300. Kerajaan Madani di bawah Anwar, jaguh rakyat marhaen, tapi gaji minimum dinaikkan hanya RM200,” katanya dalam rakaman perbualan antaranya dengan anggota Jawatankuasa Pusat PSM Chong Yee Shan.

“Gaji minimum RM1,700 yang diumumkan PM bertentangan dengan gaji minimum yang dijadangkannya untuk sektor awam, iaitu RM2,000.

“PM kemudian minta sektor swasta untuk ikut kadar minimum yang ditetapkan kerajaan tetapi tiada tekad politik untuk laksanakan gaji minimum RM2,000,” katanya lagi.

Menyifatkan pengumuman itu sebagai satu pengkhianatan, Arutchelvan berkata dengan mengambil kira garis pendapatan kemiskinan, purata pekerja bagi setiap isi rumah, gaji median, pertumbuhan produktiviti buruh, indeks harga pengguna dan kadar pengangguran, gaji minimum sepatutnya RM2,568 untuk pekerja di kawasan bandar dan RM1,884 di kawasan luar bandar.

Dari RM1,500 kepada RM1,700

Pada Jumaat lalu, Anwar mengumumkan gaji minimum akan dinaikkan daripada RM1,500 kepada RM1,700 mulai Februari tahun depan.

Anwar berkata pelaksanaan ke atas majikan yang memiliki kurang daripada lima pekerja akan ditangguhkan untuk tempoh enam bulan, iaitu sehingga Ogos 2025.

Pada masa sama dia berkata dasar gaji progresif pula adalah usaha kerajaan untuk mereformasi pasaran tenaga kerja bagi meningkatkan pendapatan pekerja. Ia akan dilaksanakan sepenuhnya tahun depan dan akan melibatkan kepada 50,000 pekerja.

Sebanyak RM200 juta telah diperuntukkan untuk dasar itu.

@partisosialis Kerajaan Madani, Pengkhianat Rakyat!! Mandan PM Ismail Sabri boleh naik gaji minima RM300, tetapi PMX Anwar Ibrahim HANYA NAIK RM200!! PENGKHIANAT RAKYAT! #Belanjawan2025 #Belanjawan #BelanjawanMadani #BelanjawanMalaysia #Bajet #Bajet2025 #Gaji #Gajiminima #Gajiminima1700 #Gajiminimum #GajiMalaysia @arulpsm2 ♬ original sound - partisosialis

Sementara itu, Arutchelvan dalam kenyataan berkata belanjawan memberi gambaran pekerja akan mendapat gaji yang lebih tinggi di bawah dasar itu dan ia adalah “pembohongan terang-terangan yang menyedihkan”.

Dia berkata ia tidak boleh dilaksanakan memandangkan rancangan gaji progresif masih di peringkat awal, dengan skop yang terbatas dan tidak mengikat mahupun diwajibkan.

Arutchelvan juga menyatakan kekecewaan terhadap dengan kenyataan Menteri Sumber Manusia Steven Sim pada 18 Oktober lalu, yang menurutnya memberikan gambaran wakil pekerja dan majikan telah sebulat suara bersetuju dengan gaji minimum RM1,700.

Menurutnya, surat yang dihantar PSM kepada menteri dan Majlis Perundingan Gaji Negara untuk mengadakan pertemuan tidak dilayan dan mendakwa mereka juga tidak diundang untuk perbincangan, berbeza dengan perundingan berkenaan perkara itu yang pernah diadakan sebelum ini.

“Ini adalah menyedihkan kerana PSM dan organisasi berkaitannya adalah komponen terkuat yang memperjuangkan undang-undang gaji minimum di negara ini sehinggalah ia menjadi undang-undang.

“Hari ini, kementerian memberikan gambaran mereka mendapat sokongan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang sendiri berdepan pergeseran dalaman. Hakikatnya, kesatuan sekerja hanya mewakili kurang daripada enam peratus daripada tenaga kerja kita,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS