Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muda: Adakah RUU tahanan rumah nak 'bantu' pihak tertentu?

Muda menyoal jika rang undang-undang tahanan rumah, yang dimasukkan dalam ucapan Belanjawan 2025 semalam, bertujuan untuk memberi manfaat kepada pihak tertentu.

Ahli jawatankuasa eksekutif pusat parti itu Dobby Chew berkata undang-undang sebegini tidak sesuai untuk diterapkan kepada mereka yang melakukan jenayah berat.

“Sudah tentu ini bergantung kepada bentuk akhir rang undang-undang tersebut kerana semua orang bimbang tentang individu yang tidak sepatutnya bergaul dengan masyarakat kerana jenayah berat yang telah dilakukan,” katanya pada sidang media majlis penjenamaan semula Muda di Petaling Jaya, Selangor, hari ini.

Chew berkata walaupun kerajaan mungkin cuba menyelesaikan masalah kesesakan penjara, Putrajaya perlu telus dalam proses merangka rang undang-undang tersebut.

Ini bagi memastikan syarat-syarat untuk pesalah menjalani tahanan rumah adalah ketat, katanya.

Semalam, kerajaan menyatakan hasrat untuk merangka undang-undang baru yang membolehkan "tahanan rumah" sebagai hukuman alternatif bagi kesalahan tertentu.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak menyebut perkara ini ketika menyampaikan ucapan belanjawan tetapi rancangan tersebut dimasukkan dalam cetakan ucapan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan.

"Pesalah dikehendaki berada di tempat tahanan yang dianggap bersesuaian seperti rumah kediaman, rumah jagaan atau asrama pekerja sepanjang tempoh penahanan dengan syarat-syarat ditetapkan dan dipantau pegawai penjara," menurut teks ucapan.

Pada masa ini, tiada banduan di Malaysia yang boleh memohon tahanan rumah kerana tiada peruntukan sebegitu dalam sistem undang-undang negara, menurut peguam.

Namun, kerajaan secara prinsip telah bersetuju melaksanakan program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) sebagai usaha mengurangkan kesesakan di penjara.

PBSL diberikan kepada banduan yang layak atas alasan seperti merapatkan hubungan kekeluargaan, mencari peluang pekerjaan dan perancangan masa hadapan selepas dibebaskan kelak.

Banduan perlu memenuhi syarat-syarat ditetapkan sebagaimana dinyatakan dalam Seksyen 43 Akta Penjara 1995 (Akta 537) dan juga Peraturan 111 Peraturan-Peraturan Penjara 2000.

Ketika ini penjara sesak melebihi kapasiti dengan kira-kira 80,000 banduan ditempatkan di 43 penjara seluruh negara yang dilapor hanya mampu menampung sekitar 70,000 banduan.

Jabatan Penjara Malaysia dilaporkan berkata sebanyak RM50 dibelanjakan untuk menanggung kos seorang banduan sehari meliputi perbelanjan makan minum, keperluan asas, kos gaji, emolumen anggota dan kakitangan penjara.

Dianggarkan perbelanjaan ini sekitar RM1.4 bilion setahun.

Terdahulu hari ini, wakil rakyat PKR Hassan Karim menyuarakan rasa hairan apabila ucapan Belanjawan 2025 oleh Anwar turut menyentuh soal tahanan di rumah.

Hukuman lebih ringan untuk golongan elit?

Ahli parlimen Pasir Gudang itu menyoal jika ia “persiapan awal” untuk membina persetujuan awam supaya meminda undang-undang “untuk meringankan hukuman bagi golongan elit tertentu”.

“Hanya satu perenggan sahaja.

“Tidak dijelaskan kenapa tiba-tiba perlu sangat soal tahanan di rumah dimasukkan ke dalam ucapan belanjawan?

“Kelihatan janggal. Sepatutnya (belanjawan) bincang bagaimana untuk menambah hasil pendapatan negara, langkah untuk kurangkan hutang kerajaan dan defisit fiskal, misalnya.

“Ucapan belanjawan seharusnya menumpu soal ekonomi dan kewangan, bukannya soal reformasi undang-undang atau urusan penjara,” kata Hassan.

Pada 3 April, bekas perdana menteri Najib Razak mendakwa terdapat titah tambahan dalam pengampunan diraja baru-baru ini yang membolehkannya menjalani baki hukuman penjara enam tahun di bawah tahanan rumah.

Bekas menteri kewangan itu membuat dakwaan berkenaan dalam permohonan kebenaran semakan kehakiman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 1 April.

Najib memohon perintah mahkamah untuk memaksa menteri dalam negeri, peguam negara, Lembaga Pengampunan, kerajaan persekutuan dan beberapa responden lain mengesahkan titah tambahan yang didakwa dalam pengampunan diraja yang mengurangkan hukuman penjaranya dari 12 tahun kepada enam tahun dalam kes rasuah RM42 juta SRC International.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS