Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar mahu rakyat sampai akar umbi merasa nikmat Belanjawan 2025
Diterbitkan:  Oct 19, 2024 5:55 PM
Dikemaskini: 9:55 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu rakyat sehingga peringkat akar umbi terutama golongan miskin dan miskin tegar dapat menikmati pelbagai inisiatif yang disediakan dalam Belanjawan 2025.

Beliau berkata antara inisiatif penting belanjawan itu ialah Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang dinaikkan kepada RM13 bilion dalam Belanjawan 2025 berbanding RM10 bilion sebelum ini.

"Sekarang SARA kita luaskan kepada 700,000 orang, STR itu sekarang cecah sembilan juta orang, maknanya sekarang kesemua B40 juga M40 dapat manfaat. Pegawai daerah, penghulu, ketua kampung pastikan orang miskin tidak terlepas peluang ini. Saya sudah pesan tidak mahu ada tercicir.

"Maknanya, kerajaan Persekutuan jamin setiap keluarga … pendapatan campur semua kemudahan diberi kerajaan Persekutuan tidak kurang RM1,000 sebulan mesti masuk akaun dia. Tidak banyak negara buat (seperti) Malaysia MADANI laksanakan, setiap rakyat tidak ditinggalkan," kata beliau berucap merasmikan Program MADANI Rakyat 2024 Sayangi Sabah di Likas, Kota Kinabalu hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick dan menteri-menteri Kabinet Persekutuan dan Sabah.

Semalam, Anwar yang juga Menteri Kewangan membentangkan Belanjawan 2025 berjumlah RM421 bilion di Dewan Rakyat yang memberikan penekanan lebih kepada usaha merancakkan ekonomi, menguasai aspek inovasi selain memastikan pengagihan kekayaan lebih adil dan saksama.

Perdana Menteri berkata tiada gunanya membicarakan hak negeri atau kaum sekiranya masih ada rakyat pada peringkat akar umbi berstatus miskin, miskin tegar ataupun berpendapatan rendah, justeru mereka harus dibantu untuk keluar daripada belenggu itu.

"Mengapa harus kita gaduh soal kuasa negeri, hak negeri, hak kaum? Semua kaum kita peduli, kalau ada Melayu, Melanau, Dayak, Cina atau India termasuk dalam kategori dianggap miskin tegar atau miskin atau pendapatan tidak tinggi, maka STR masuk akaun dia minimum RM1,100.

"Ini belum dikira bantuan kerajaan negeri, zakat, NGO (badan bukan kerajaan), yayasan … kita bimbang kalau-kalau ada yang tercicir. Ini tanggungjawab kita pastikan tiada yang tercicir daripada menikmati apa yang kerajaan usahakan ini," katanya.

Beliau berkata tidak ada gunanya juga pembangunan dan kemajuan dinikmati negara sekiranya rakyat di bawah tidak diberikan pembelaan sepatutnya, oleh itu kerajaan MADANI mahu setiap rakyat diberikan perhatian secara langsung dan usaha ini memerlukan sokongan rakyat itu sendiri.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS