Paling Popular
Terkini

Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) sedang memulakan proses penjenamaan semula parti itu untuk menekankan semula komitmennya terhadap prinsip sosiodemokrasi.

Oleh itu, pemangku presidennya Amira Aisya Abd Aziz melancarkan logo baru parti - dengan perkataan "Muda" kini berwarna kuning.

“Selepas tiga tahun (sejak parti itu didaftarkan), kami merasakan ada keperluan untuk Muda memberitahu rakyat di luar sana bahawa kami berpegang pada prinsip sosiodemokrasi.

"Tidak kira ke mana Muda pergi, atau dalam sebarang bentuk pertemuan atau pilihan raya, kami akan berpegang pada prinsip itu," katanya.

Amira berkata demikian semasa pelancaran logo baru Muda di Petaling Jaya, Selangor, hari ini.

Muda ditubuhkan selepas kejatuhan kerajaan PH ekoran Langkah Sheraton pada 2020 yang menyaksikan bekas ahli parlimen Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, mengasaskannua.

Bermula sebagai sebuah parti yang dilihat membawa harapan dan menampilkan pemimpin muda, prestasi mereka dalam pilihan raya tidak memberangsangkan.

Suara ahli paling penting

Ketika ini Muda hanya mempunyai seorang ahli parlimen - Syed Saddiq sendiri untuk kerusi Muar - dan Amira bagi DUN Puteri Wangsa.

Mengulas lanjut, Amira berkata huruf kuning logo itu - yang dahulunya berwarna putih - mewakili perjuangan rakyat, selaras dengan aspirasi Muda untuk menegakkan keadilan sosial.

Tiga baris yang membentuk huruf "D" pula, katanyam mewakili aspek kebebasan, keadilan dan perpaduan yang ditekankan Muda.

Dengan pemilihan parti yang semakin hampir, kata Amira, Muda sebenarnya tidak dibayangi isu berpuak-puak kerana ia masih baru.

Katan ya ahli parti juga dialu-alukan untuk bertanding bagi mana-mana jawatan kerana Muda menjunjung norma demokrasi.

“Satu perkara yang baik tentang Muda, menjadi parti baru, kami belum mempunyai isu berpuak-puak yang serius seperti parti politik lain. Dan saya berharap bahawa kita tidak akan (berlaku pada masa hadapan) sama sekali.

“Apapun, saya pasti perbezaan pendapat mungkin timbul tetapi kita akan tetap mempunyai visi yang sama untuk Malaysia,” katanya sambil menambah butiran pemilihan parti akan diumumkan bulan depan.

Ditanya sama ada Muda akan bertanding dalam pilihan raya negeri di Sabah, Amira berkata, kepimpinan negeri akan memutuskan perkara tersebut selepas ini dan pemimpin pusat akan menyokongnya.

"Apabila bercakap mengenai Sabah dan Sarawak, suara ahli kami di sana paling penting," katanya.

PRN Sabah mesti diadakan pada awal Dis tahun depan, tetapi Ketua Menteri Hajiji Noor dilaporkan membayangkan bahawa pilihan raya mungkin lebih awal daripada itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS