Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes konsesi pasir: SPRM tak tolak kemungkinan buat serbuan baru
Diterbitkan:  Oct 19, 2024 4:50 PM
Dikemaskini: 8:50 AM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan melakukan serbuan baru ke atas mana-mana premis jika ada keperluan berbuat demikian bagi menyiasat isu syarikat Menteri Besar Incorporated (MBI).

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata pegawai penyiasat sedang giat menjalankan siasatan daripada semua aspek bagi mendapatkan bukti berkaitan kes berkenaan, dan sehingga semalam pihaknya telah memanggil tidak kurang 20 saksi bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Mana-mana tempat yang mempunyai barang bukti menjadi tugas kepada pegawai penyiasat saya untuk mencari bukti berkenaan,” katanya selepas Majlis Tamat Latihan Dan Pentauliahan Pegawai Integriti Muda (YIO) Kadet Kor Sukarelawan Mahasiswa Antirasuah (Kor SUAR) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Kuala Nerus hari ini.

Majlis hari ini menyaksikan 39 kadet Kor SUAR UniSZA ditauliahkan sebagai YIO SPRM oleh Lembaga Pengiktirafan Pegawai Integriti Bertauliah (LPPIB).

Azam berkata UniSZA adalah satu-satunya institusi pendidikan tinggi (IPT) di negara ini yang menubuhkan Kor SUAR bagi melahirkan graduan berintegriti tinggi serta mempunyai pengetahuan dalam pencegahan rasuah.

Beliau berkata SPRM akan memperkasa kursus Kor SUAR di UniSZA dengan penambahan program latihan persenjataan dalam modul sedia ada selaras dengan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS