Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Menteri: Baiki kemudahan tandas, wad hospital diberi tumpuan segera

Pembaikan tandas hospital dan wad pesakit yang uzur akan diberikan tumpuan segera menerusi peruntukan Belanjawan 2025, kata Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad. 

Dzulkefly berkata kerja-kerja pembaikan kemudahan itu akan dilaksanakan secepat mungkin seiring saranan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.  

"Hospital kita bukan sahaja perlu ditambah baik dari segi perkhidmatan tetapi juga kemudahan tandas serta wad.

“Selain itu, fasiliti yang akan dinaik taraf ialah klinik yang daif menerusi pemberian peruntukan RM300 juta berbanding belanjawan sebelum ini RM150 juta, maka kami boleh laksanakan naik taraf klinik termasuk di kawasan pedalaman dan klinik desa," katanya.

Dzulkefly Ahmad

Dia berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Madani Afiat dan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat Peringkat Pahang 2024 di Dataran Bandar Diraja di Pekan, hari ini. 

Menerusi Belanjawan 2025, Kementerian Kesihatan (KKM) menerima peruntukan kedua tertinggi iaitu RM45.3 bilion berbanding RM41.2 bilion sebelum ini untuk menjalankan tugas-tugas asas termasuk memastikan kemudahan perkhidmatan kesihatan awam yang berkualiti, selesa dan mesra rakyat.

Perdana menteri ketika membentangkan belanjawan itu turut memaklumkan peruntukan berkenaan meliputi RM1.35 bilion bagi menyelenggara prasarana kesihatan termasuk membaiki tandas hospital yang uzur dan wad-wad pesakit yang usang.

Sementara itu, Dzulkefly berkata menerusi peruntukan diterima kementerian, masa menunggu di hospital juga dapat dikurangkan apabila perkhidmatan kesihatan sedia ada di hospital akan dimulakan di klinik kesihatan dan swasta. 

Dalam pada itu, dia memaklumkan kira-kira 580,000 pesakit akan menerima manfaat dengan pembelian SGLT-2 inhibator bagi kegunaan rawatan diabetes. 

"Meskipun mahal sikit tetapi baik untuk merawat pesakit kencing manis kerana dapat mengelak kemudaratan seperti potong kaki dan kegagalan buah pinggang," katanya.

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS