Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kawasan risiko banjir disenarai untuk projek tebatan

Semua kawasan sering dilanda banjir sudah disenaraikan dan usaha untuk melaksanakan projek tebatan di kawasan terbabit juga sudah dan sedang giat dijalankan.

Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi, berkata selain memfokuskan kepada isu banjir, kerajaan juga memberi perhatian terhadap masalah hakisan pantai yang berlaku ketika ini.

"Pelaksanaan projek tebatan banjir ini di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

"Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara, koordinasi telah kami lakukan dengan kerjasama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air yang diketuai Timbalan Perdana Menteri II, Fadillah Yusuf.

"Selain perkara berkaitan banjir, berlaku juga hakisan pantai disebabkan pemanasan global dan perubahan cuaca.

"Mengikut unjuran dikeluarkan SDG (Matlamat Pembangunan Mampan), pada 2050 nanti, pulau-pulau kecil di Lautan Hindi dan Pasifik akan berada di bawah paras laut, jadi perkara ini juga kita kena tengok.

"Ini bermakna kawasan pantai di timur atau barat semenanjung akan terkesan.

"Kalau tak ambil tindakan sekarang, kita akan membelanjakan kira-kira RM1 trilion untuk menguruskan isu hakisan pantai ini," ketika sidang media di Kuantan, Pahang, hari ini.

Ahmad Zahid turut memaklumkan kerajaan sedang mempertimbangkan pembinaan pusat pemindahan sementara (PPS) kekal yang dilengkapi semua kemudahan asas bagi menggantikan sekolah dan dewan orang ramai.

Terdahulu, Ahmad Zahid merasmikan Program Halal on Track 2024 @ Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, Jalan Teluk Sisek, Kuantan.

Turut hadir, Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteru (Hal Ehwal Agama), Mohd Na'im Mokhtar.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 memaklumkan sebanyak RM600 juta disalurkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bagi tujuan menghadapi banjir.

Jumlah itu termasuk penyaluran segera RM150 juta kepada JPS dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mulakan kerja pembersihan longkang dan pengorekan sungai di kawasan berisiko banjir.

Ketika diminta mengulas mengenai masalah kelewatan kelulusan pensijilan halal dihadapi pemohon sebelum ini, Ahmad Zahid memberitahu, proses itu sudah ditambah baik menjadi berbanding sembilan bulan lalu

"Sekarang pun sedang berjalan... tempoh percubaan untuk memproses dan meluluskan permohonan dalam masa 15 hari bekerja.

"Jadi, penambahbaikan sudah dilakukan pihak Jakim dalam hal ini," jelasnya.

Pada masa sama Ahmad Zahid memaklumkan Koridor Perdagangan Halal China - Malaysia juga sedang diusahakan, memandangkan negara itu menyediakan peluang perdagangan halal yang sangat agresif.

Katanya, kewujudan hab halal di kawasan perindustrian Gebeng dan Gambang, Pahang adalah antara elemen yang boleh menyumbang kepada kerancakan koridor perdagangan halal berkenaan.

Ini kerana, katanya, Pahang memiliki infrastruktur yang memenuhi keperluan pelabur dari China, seperti pelabuhan dan lapangan terbang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS