Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kenaikan duti eksais minuman bergula 'kemenangan manis' CAP
Diterbitkan:  Oct 19, 2024 3:21 PM
Dikemaskini: 7:21 AM

Cadangan kerajaan untuk menaikkan kadar duti eksais bagi minuman bergula seperti yang diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam adalah permulaan baik dalam usaha memerangi pelbagai penyakit disebabkan oleh pengambilan produk bergula.

Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) NV Subbarow, berkata pengumuman itu juga secara tidak langsung dianggap sebagai kemenangan 'manis' buat CAP yang selama ini turut memperjuangkan isu bahaya pengambilan gula secara berlebihan.

Katanya kadar kenaikan 40 sen seliter itu dianggap munasabah dan diharap dapat mengurangkan tabiat pengambilan bahan manis dalam kehidupan seharian, sekali gus mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.

"Perang terhadap gula (War On Sugar) bukan isu baru kerana ia telah diperjuangkan oleh CAP sejak lebih 20 tahun lalu dan akhirnya kerajaan membuat satu pengumuman yang melegakan kita.

"Seperti yang disebut perdana menteri semalam rakyat Malaysia merupakan antara yang paling obes di rantau Asia Tenggara dengan gula merupakan musuh utama penyakit tidak berjangkit.

"Situasai ini amat membimbangkan jika tidak dikawal dari sekarang," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Subbarow berkata jika dulu penghidap diabetes direkodkan banyak dalam kalangan orang dewasa atau tua tetapi hari ini kanak-kanak dan belia juga menghidap penyakit itu yang antaranya disebabkan oleh pengambilan gula secara tidak terkawal terutama dalam minuman.

Dalam hal ini, katanya, ibu bapa perlu memainkan peranan penting dan dengan kenaikan kadar duti diharap ia menjadi peringatan agar tidak atau mengurangkan pembelian produk bergula untuk anak-anak demi kesihatan keluarga.

"Bagaimanapun selepas dilaksanakan nanti kita harap tiada pula peniaga yang mengambil kesempatan menjual stok barangan lama dengan harga baru atau menaikkan harga barangan secara keterlaluan.

"Memang kita setuju langkah diambil kerajaan itu sebagai satu cara mengurangkan pengambilan gula tetapi dalam hal ini perlu ada situasi menang-menang.

"Kerajaan perlu menetapkan satu harga yang adil dan tidak membebankan pengguna," katanya.

Secara keseluruhan, dia berkata, CAP berharap agar angka penyakit terutama diabetes dapat diturunkan seterusnya mewujudkan masyarakat yang lebih sihat dan pada masa sama, kos untuk rawatan bagi penyakit itu dapat dikekalkan atau dikurangkan.

Semasa pembentangan Belanjawan 2025 di parlimen semalam, Anwar yang juga menteri kewangan mengumumkan cadangan kerajaan menaikkan kadar duti eksais bagi minuman bergula secara berfasa mulai 1 Jan 2025.

Langkah itu bagi menyokong gerakan War On Sugar yang dilancarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada 29 Jun lalu.

Dia berkata tambahan hasil yang diraih daripada langkah itu akan dimanfaatkan untuk menampung perbelanjaan kesihatan awam.

Antaranya meliputi penambahan bekalan ubat SGLT-2 inhibators bagi kegunaan rawatan diabetes, penyediaan rawatan dialisis peritoneal untuk pesakit buah pinggang tahap akhir kepada lebih banyak pesakit dan Lembaga Kemajuan Tanah Persektuan (Felda) yang turut menambah baik pusat dialisis agensi itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS