Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kadar gaji minimum RM1,700 terpakai untuk pekerja asing

Perintah Gaji Minimum (PGM) sebanyak RM1,700 yang akan berkuat kuasa Februari tahun depan terpakai kepada semua pekerja termasuk pekerja bukan warganegara di sektor swasta kecuali pekhidmat domestik dan kontrak perantisan.

Menurut soalan-soalan lazim (FAQ) PGM yang disediakan Sekretariat Majlis Perundingan Gaji Negara, dasar gaji minimum hendaklah tidak mendiskriminasi seseorang pekerja atas alasan kewarganegaraan selaras Konvensyen ILO No.100: Equal Remuneration yang diratifikasikan oleh Malaysia pada 1997.

Selain itu, Seksyen 69F Akta Kerja 1955, Seksyen 118B Ordinan Buruh Sabah (Bab 67) atau Seksyen 119B Ordinan Buruh Sarawak (Bab 76) tidak membenarkan sebarang bentuk diskriminasi antara pekerja tempatan dan pekerja asing.

“Majikan wajib membayar kadar gaji minimum kepada pekerja walaupun pekerja bersetuju untuk majikan membayar gaji pokok lebih rendah daripada gaji minimum selaras Seksyen 43 Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732),” menurut FAQ berkenaan.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2025 semalam mengumumkan kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 sebulan kepada RM1,700 sebulan berkuat kuasa 1 Feb 2025.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan gaji minimum RM1,700 bagi majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja selama enam bulan hingga 1 Ogos 2025.

Menurut FAQ itu, PGM sebanyak RM1,700 yang akan berkuat kuasa pada 1 Feb depan melibatkan majikan yang mengambil lima pekerja atau lebih dan majikan yang menjalankan suatu aktiviti profesional tanpa mengira bilangan pekerja.

Merujuk kepada pengkelasan Piawaian Pengelasan Pekerjaan Malaysia (Masco) 2020 terdapat sembilan kumpulan sub utama aktiviti profesional iaitu profesional sains dan kejuruteraan, profesional kesihatan, profesional perguruan, profesional perniagaan dan pentadbiran serta profesional teknologi maklumat dan komunikasi.

Turut tersenarai profesional perundangan, profesional perkhidmatan hospitaliti dan yang berkaitan, profesional sosial dan kebudayaan serta profesional badan pengawalaturan.

FAQ itu memaklumkan seseorang yang tidak dibayar gaji pokok tetapi dibayar gaji hanya berdasarkan upah ikut kerja, berat tan, tugasan, perjalanan atau komisen, kadar gaji bulanan yang kena dibayar kepada mereka hendaklah tidak kurang daripada gaji minimum bulanan semasa iaitu RM1,700.

Merujuk kepada FAQ itu, pelaksanaan PGM tidak bertentangan dengan amalan majikan yang melaksanakan Sistem Upah Yang Dikaitkan dengan Produktivti dengan syarat pekerja tidak menerima kadar yang kurang daripada kadar gaji minimum.

Selain itu, PGM tidak akan digantikan oleh Dasar Gaji Progresif kerana dasar berkenaan adalah pelengkap kepada gaji minimum dan dilaksanakan secara sukarela oleh majikan.

FAQ itu memaklumkan dengan pewartaan PGM 2024, PGM 2022 adalah terbatal namun apa-apa prosiding undang-undang, pendakwaan atau siasatan yang dibuat di bawah PGM 2022 diteruskan sehingga selesai.

“Semua kontrak perkhidmatan dan perjanjian kolektif hendaklah mengambil kira semua peruntukan dalam PGM 2024,” menurut FAQ itu.

PGM dikuatkuasakan oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Jabatan Tenaga Kerja Sabah (JTK Sabah) serta Jabatan Tenaga Kerja Sarawak (JTK Sarawak) dan sebarang pelanggaran boleh dilaporkan kepada pihak berkenaan.

Majikan yang gagal mematuhi PGM boleh dikenakan tindakan penalti antara RM1,000 hingga RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun. 

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS