Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kenaikan duti eksais minuman bergula bagus untuk perangi diabetes

Keputusan kerajaan untuk secara beransur-ansur meningkatkan kadar duti eksais ke atas minuman bergula (SSB) sebanyak 40 sen seliter dalam Belanjawan 2025 mulai 1 Jan tahun depan dilihat  kaedah berkesan untuk mengurangkan penggunaan minuman berkenaan. 

Perunding Kanan Pediatrik Dr Amar Singh HSS berkata langkah itu satu permulaan baik untuk mengekang peningkatan kes diabetes yang semakin membimbangkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Diabetes kini musuh utama dalam bentuk penyakit tidak berjangkit (NCD). Peningkatan duti eksais ini permulaan baik walau hakikatnya banyak lagi yang perlu dilakukan untuk mendidik masyarakat tentang kesan buruk pengambilan gula berlebihan.

“Kita memerlukan pendekatan secara lebih menyeluruh untuk memberikan tumpuan kepada pencegahan penyakit dan promosi kesihatan. Antara langkah lebih berkesan ialah memperbanyak pergerakan fizikal dengan mengurangkan penggunaan kereta, sebaliknya lebih kerap menggunakan pengangkutan awam,” katanya ketika dihubungi Bernama

Perdana Menteri Anwar Ibrahim semasa membentangkan Belanjawan 2025 berkata tambahan hasil diraih daripada kenaikan cukai ini akan dimanfaatkan untuk menampung perbelanjaan kesihatan awam antaranya meliputi penambahan bekalan ubat SGLT-2 inhibator bagi kegunaan rawatan diabetes serta penyediaan rawatan Dialisis Peritoneal untuk pesakit buah pinggang tahap akhir kepada lebih banyak pesakit selain Felda yang turut menambah baik pusat dialisis mereka,

Ketua Eksekutif Galen Centre for Health and Social Policy Azrul Mohd Khalib berkata kenaikan kadar duti eksais bertentangan dengan fakta bahawa subsidi atau bayaran insentif masih diberikan kepada pengeluar gula sebanyak RM500 juta hingga RM600 juta setiap tahun.

Dia berkata kenaikan cukai ini dijangka mengumpul sekitar RM400 juta, jauh lebih rendah berbanding kos subsidi gula.

“Hasil itu sepatutnya boleh digunakan untuk melabur dalam meningkatkan pendidikan kesihatan, intervensi pencegahan kesihatan dan program sarapan pagi sihat untuk pelajar sekolah seperti perancangan awal ketika cukai ini kali pertama dilaksanakan pada 2019.

“Kita perlu melabur lebih banyak dalam bidang ini jika serius mahu beralih daripada penjagaan penyakit kepada penjagaan kesihatan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) Datuk Dr Kuljit Singh berpendapat meningkatkan jalinan kerjasama dengan 91 hospital swasta bagi menyumber luar pesakit kepada dari hospital kerajaan seperti yang diumum dalam belanjawan membolehkan hospital swasta merawat pesakit sepenuhnya termasuk dalam situasi yang mencabar. 

Dia berkata penggunaan teknologi juga perlu diguna pakai untuk memudahkan rujukan antara institusi awam dan swasta selain dapat menjimatkan masa pesakit kerana tidak perlu menunggu lebih lama.

“Ini membolehkan golongan B40 dan sebahagian M40 mendapatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan lebih cepat manakala mereka yang berkemampuan menerima rawatan menerusi konsep usaha sama dengan hospital swasta serta pada masa sama, mengurangkan beban petugas dan kemudahan kesihatan awam,” katanya.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr Kalwinder Singh Khaira berkata walaupun banyak perancangan untuk memperluas serta menambah baik perkhidmatan serta infrastruktur, pihaknya percaya lebih banyak tumpuan perlu diberikan terhadap pembangunan sumber manusia bagi petugas kesihatan.

Dia berkata kenaikan pangkat, jawatan tetap, latihan, perkembangan kerjaya dan kesejahteraan mental juga mustahak dan perkara ini sering dibangkitkan oleh MMA untuk mengekalkan khidmat doktor dalam Kementerian Kesihatan (KKM) bagi menyediakan perkhidmatan sebagaimana dirancang kerajaan.

KKM menerima peruntukan kedua tertinggi iaitu RM45.3 bilion tahun depan berbanding RM41.2 bilion tahun ini, untuk menjalankan tugas-tugas asas termasuk memastikan kemudahan perkhidmatan kesihatan awam yang berkualiti, selesa dan mesra rakyat.

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS