Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sekali lagi komuniti antarabangsa gagal, kata Anwar
Diterbitkan:  Oct 19, 2024 12:59 PM
Dikemaskini: 4:59 AM

Anwar Ibrahim menyatakan Malaysia bersedih atas kematian pemimpin Hamas, Yahya Sinwar, yang dibom rejim Zionis di Rafah semalam.

Menurut perdana menteri, Yahya merupakan sosok pejuang dan pembela rakyat Palestin yang menjadi mangsa kekejaman biadab tentera Israel.

Dia juga menyatakan rasa kecewa apabila keadilan masih tidak dapat ditegakkan untuk bangsa Palestin.

"Sekali lagi komuniti antarabangsa gagal memperjuang serta memastikan keamanan dan keadilan tertegak lantas memburuk situasi konflik.

"Malaysia mengutuk keras pembunuhan ini, dan ternyata (merupakan) percubaan rejim untuk melemahkan tuntutan pembebasan tidak akan berjaya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Hamas semalam mengesahkan pemimpin biro pilitiknya itu meninggal dunia dalam serangan dilakukan rejim Israel kelmarin.

"Yahya Sinwar telah menjadi pejuang yang syahid dalam keadaan bertempur berhadapan dengan tentera Israel sehingga ke nafas yang terakhir," kata pertubuhan pembebasan Palestin itu.

Yahya, 61, baru saja dilantik mengetuai pertubuhan itu pada 7 Ogos lalu bagi menggantikan Ismail Haniyeh yang dibunuh Israel sebelum itu.

Menurut Anwar langkah tegas perlu diambil bagi menghentikan kekejaman dilakukan Israel.

"Malaysia mendesak agar kebiadaban Israel disanggah komuniti antarabangsa dan betapa pembantaian berterusan warga Palestin mesti segera dihentikan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS