Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Syed Saddiq bimbang Belanjawan '25 cetus perpecahan kelas

Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyatakan kebimbangannya terhadap kemungkinan wujud perpecahan kelas ekoran Belanjawan 2025 dibentang Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam.

Sambil memuji langkah kerajaan meningkatkan bantuan kebajikan, Syed Saddiq berkata dia risau terhadpa kesan terhadap golongan pertengahan, khususnya mereka yang berpendapatan sekitar RM7,000 sebulan.

“Mengikut belanjawan, kerajaan mengumumkan bahawa 15 peratus teratas (T15) rakyat Malaysia tidak lagi menerima subsidi untuk petrol, pendidikan dan penjagaan kesihatan. Tetapi apakah maksud 15 peratus teratas?

“Di Malaysia, 15 peratus isi rumah teratas memperoleh kira-kira RM12,000. Bagaimanapun, berdasarkan data Jabatan Perangkaan, pendapatan isi rumah merujuk kepada jumlah pendapatan semua orang yang berkerja dalam sesebuah keluarga, bukannya pendapatan individu.

“Jadi, jika anda memperoleh RM7,000 sebulan hari ini, anda akan kehilangan akses kepada subsidi pendidikan dan penjagaan kesihatan - bukan sahaja untuk diri sendiri, tetapi untuk keluarga dan anak-anak anda juga,” katanya kepada Malaysiakini.

Dengan purata isi rumah 3.8 orang, Syed Saddiq menegaskan, keluarga dengan dua anggotanya bekerja dengan berpendapatan gabungan RM12,000 akan dinafikan subsidi tersebut.

Justeru dia menggesa kerajaan menyediakan garis panduan yang lebih jelas mengenai perkara itu, sambil menekankan bahawa pendekatan semasa kerajaan berisiko menghukum kelas menengah secara tidak adil.

“Berdasarkan data sedia ada, dasar ini boleh membahayakan kumpulan berpendapatan sederhana Malaysia. Dan dengan Hab Pangkalan Data Utama (Padu) masih tidak lengkap, saya khuatir ramai yang akan tercicir di celah-celah sistem,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan membentangkan Belanjawan Madani 2025 bertemakan Ekonomi Madani - Negara Makmur, Rakyat Sejahtera.

Mengenai subsidi pendidikan, Anwar berkata kerajaan bercadang menaikkan yuran untuk kanak-kanak dari kalangan kumpulan T15 yang belajar di sekolah berasrama penuh kerajaan seperti institut sains - merujuk kepada MRSM - serta di institusi pengajian tinggi awam.

Anggap langkah konkrit

Menurutnya pada masa ini, 30 peratus pelajar di sekolah elit dan universiti awam ini adalah daripada keluarga berpendapatan tinggi.

Perdana menteri berkata T15 juga perlu membayar tambahan untuk penjagaan kesihatan awam.

Sementara itu Syed Saddiq turut mengkritik Putrajaya ekoran dasar kerajaan 'berperang' dengan gula.

Walaupun mengalu-alukan cukai eksais tambahan ke atas minuman bergula sebagai sebahagian daripada usaha menentang penggunaan tidak sihat, bekas menteri belia dan sukan itu menegaskan kerajaan terus memberi subsidi kepada dua pengeluar gula utama di Malaysia.

“Pengeluar-pengeluar terbabit menyumbang dengan ketara kepada penggunaan gula yang tidak sihat di negara ini, yang menjadikan dasar itu kelihatan bercanggah.

"Saya harap kerajaan dapat menjelaskan pendirian mereka,” katanya.

Di samping itu, Syed Saddiq menggesa kerajaan memberi komitmen yang lebih besar kepada reformasi tadbir urus, menggesa pengenalan langkah seperti pengisytiharan aset mandatori kepada menteri dan ahli parlimen dan akta pembiayaan politik yang telah lama ditunggu-tunggu.

“Ini adalah langkah konkrit yang sejajar dengan visi Anwar untuk memperkasakan institusi dan mempromosi integriti di Malaysia,” katanya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS