Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dakwaan dipukul kerabat: ‘Alias rakyat beta, beri keadilan kepadanya’
Diterbitkan:  Oct 19, 2024 10:11 AM
Dikemaskini: 2:11 AM

Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah sekali lagi menggesa keadilan ditegakkan untuk Alias Awang, pekerja pembinaan yang didakwa diserang oleh kerabat diraja negeri itu.

“Dia (Alias) rakyat beta, beri keadilan kepadanya sekarang,” katanya di Instagram semalam, diikuti dengan beberapa hantaran lagi yang juga berkaitan dengan soal keadilan.

Tengku Hassanal mengulas laporan Malaysiakini pada 17 Oktober lalu, berkenaan kekecewaan Alias apabila belum ada tindakan daripada pihak berkuasa walaupun kes itu mengundang perhatian ramai.

“Saya berharap ada pembelaan buat saya. Setakat ini semuanya diam,” katanya kepada Malaysiakini.

Alias Awang

Terdahulu, Alias mendakwa serangan ke atasnya berlaku di sebuah kandang kuda di Kuantan pada 6 Jun lalu.

Bapa kepada lapan anak itu mendakwa dia dihubungi oleh seorang individu dipercayai orang suruhan anak kerabat berkenaan untuk bertemu dengannya di sana.

Dakwanya lagi, dia kemudian diserang oleh kira-kira 20 orang, termasuk anak seorang Tengku yang melepaskan tembakan ke arah kakinya namun tersasar. Dia juga mendakwa peha kanannya ditikam dengan pisau.

Alias membuat laporan polis pada 8 Jun lalu.

Tengku Hassanal telah membangkitkan kes ini sebelum ini, dengan menggesa polis mengambil tindakan tegas terhadap kerabat diraja yang didakwa terlibat.

"Tiada sesiapa pun yang lebih tinggi dari undang-undang, termasuk kerabat diraja," titahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS