KOLUM | Pada 10 Oktober lalu ialah Hari Kesihatan Mental Sedunia. Sehari selepas itu, tiga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) maut dilanggar seseorang yang dilaporkan menghadapi masalah mental.
Sehari sebelum itu di Shah Alam berlaku peristiwa yang mana seorang pesakit mental telah memasuki sebuah restoran dan tanpa sebab telah menampar seorang pelanggan yang tidak dikenalinya.
Pihak yang menangkap pesakit itu ialah Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), tempat dia menerima rawatan.
Adalah dikatakan bahawa pesakit mental wanita itu sering kelihatan berjalan-jalan di sekitar kawasan kedai di situ sejak empat tahun lalu. Dia tidaklah mengganggu orang ramai. Tetapi pastinya kehadirannya di mana-mana pun akan menimbulkan rasa tidak senang pada masyarakat sekitar.
Ketika saya tinggal di Seri Gombak, Batu Caves selama 30 tahun, terdapat tiga pesakit mental yang berkeliaran di situ. Seorang daripadanya menunggang basikal setiap pagi dengan mengibarkan bendera-benera Jepun pada basikalnya. Dia tidak mengganggu sesiapa.
Seorang lagi, juga tidak mengganggu ketenteraman awam tinggal tidak jauh dari rumah saya. Adalah dipercayai saudaranya menyediakan sebuah rumah untuknya tinggal. Dengan berseluar pendek dan berkemeja lama, dia sering ke kedai runcit dan restoran mamak untuk makan minum.
Seorang lagi pesakit mental tinggal di depan rumah saya. Dia adalah seorang wanita Cina, bekas guru bahasa Melayu. Dia tinggal bersama anaknya yang sudah bekerja tetapi belum berkahwin. Suaminya sudah lama meninggalkannya. Ada ketikanya terdengar dia menjerit dan menyanyi kuat. Dia tidaklah mengganggu jiran tetapi tentunya mengeruhkan suasana.
Seringkali dia tunggu di luar rumah dengan pelbagai beg bergantung di bahu dan dipegang pada tangan. Dia ingin menumpang untuk ke pekan tidak jauh dari kawasan itu. Dia juga pernah menumpang kereta saya. Walaupun tidak mengganggu orang ramai, tetapi pastinya orang ramai berasa tidak selesa dengan kehadiran pesakit mental.
Ada satu masa ketika saya berada di restoran mamak, dia datang ke kedai itu dengan membawa beg-beg beroda dan papan hitam. Dia buka kelas di situ dan mengajar mata pelajaran bahasa Melayu seolah-olah ada pelajar di depannya. Pemilik kedai hanya membenarkan kerana tidak guna untuk berhujah dengannya. Pelanggan-pelanggan tentu tidak berasa selesa tetapi mereka tidak dapat berbuat apa-apa.
Perkembangan kajian
Di kampung saya di Batu Pahat, Johor, terdapat tiga orang pesakit mental. Seorang sudah meninggal dunia dan seorang lagi telah dipindahkan ke pusat jagaan pesakit mental swasta di Klang.
Kehadiran pesakit-pesakit mental adalah suatu realiti dalam masyarakat sejak dari dahulu. Dalam cerpen, novel dan filem lama sebelum merdeka lagi, seringkali ditampilkan watak pesakit mental dalam jalan cerita. Malah hospital mental negara yang terkenal iaitu di Tanjung Rambutan, Perak dan Tampoi, Johor telah ditubuhkan pada zaman pentadbiran British. Hospital Permai Tampoi ditubuhkan pada tahun 1937.
Kini, perkhidmatan doktor pakar penyakit mental, iaitu ahli psikiatri dan kemudahan wad untuk mereka ada di banyak hospital besar di seluruh negara. Perkembangan kajian mental juga sudah jauh ke depan. Jenis-jenis penyakit mental juga dikenal pasti. Antaranya ialah skizofrenia yang mana pesakit nampak atau mendengar sesuatu perkara yang sebenarnya tidak wujud, iaitu merangkumi ilusi dan delusi (delusion).
Setelah bertahun-tahun penyelidikan dan pemerhatian, kaedah rawatan dan ubat-ubatan untuk mereka semakin baik tetapi penyembuhan sepenuhnya masih tidak dapat dicapai. Maknanya pesakit perlu mengambil ubat sepanjang hayatnya supaya skizofrenia dapat dikawal. Sekiranya ubat tidak diambil, maka penyakit itu datang balik.
Lebih buruk lagi jika tidak dirawat langsung, maka keadaan penyakit mental bertambah buruk dan bukan saja boleh mengganggu ketenteraman awam sehingga boleh mencederakan seseorang seperti mana laporan-laporan berita mengenai kes-kes pembunuhan yang dilakukan oleh pesakit mental.
Apa yang memburukkan lagi keadaan ialah apabila mereka tidak dirawat kerana para waris menolak perubatan berasaskan sains dan sebaliknya pergi kepada kaedah tradisional dan alternatif yang akhirnya ternyata tidak berkesan. Oleh kerana penyakit mental ini memang sudah diketahui sejak zaman awal sejarah, maka kaedah rawatannya juga berkembang mengikut kepercayaan zaman dahulu melibatkan fahaman yang dikaitkan dengan makhluk halus seperti jin.
Skizofrenia boleh menyerang pada sesiapapun, tidak kira umur, profesion atau latar belakang kewangan. Ia merupakan hasil ketidakseimbangan bahan-bahan kimia tertentu dalam otak. Buat masa ini, masih tidak diketahui puncanya walaupun dipercayai gabungan gen-gen tertentu boleh mengakibatkannya. Faktor keturunan dan tekanan hidup juga dipercayai ada kesannya.
Dengan menanggung penyakit itu, sememangnya ia memusnahkan hidup seseorang, baik terhadap masa depannya dari segi pendidikan, kerjaya mahupun keluarga.
Polisi oleh pihak berkuasa kesihatan jufa telah berubah dengan mengambil kira bilangan pesakit mental dan simber peruntukan kewangan. Maka dasarnya ialah para pesakit mental diletakkan di bawah penjagaan keluarga dan bebas bergerak dalam masyarakat. Hanya yang mencederakan orang barulah ditahan dalam wad atau dihantar ke Tampoi atau di Tanjung Rambutan.
Keluarga yang menjaga pesakit mental ini pula perlu memastikan mereka mengambil ubat dan pergi memenuhi janji temu dengan doktor. Jika keluarga tidak sanggup menjaga pesakit mental itu, maka bolehlah dia dihantar ke pusat jagaan pesakit mental yang dikendalikan oleh pihak swasta, bermakna ia perlu dibayar. Tentulah tidak semua yang mampu berbuat demikian. Ditambah pula pusat jagaan pesakit mental ini tidak mencukupi.
Ketenteraman awam
Walaupun ada pesakit mental yang tidak mencederakan orang tetapi mereka boleh mengancam ketenteraman awam sebab mereka boleh berubah menjadi agresif. Ancaman kepada masyarakat boleh berlaku secara langsung atau tidak langsung seperti menunggang motosikal atau kereta.
Sememangnya pesakit mental boleh dikawal apabila dia secara konsisten mengambil ubat yang ditetapkan. Tetapi apabila dia enggan, penjaganya tidak dapat memaksa. Hanya pihak hospital atau pusat jagaan boleh melakukannya. Sebab itu tidak semua penjaga pesakit mental dapat melakukannya lebih-lebih lagi jika merupakan merupakan ibu bapa yang lanjut usia.
Pada awal tahun ini saya ada menyaksikan di Hospital Batu Pahat seorang bapa merayu kepada pihak hospital supaya menjaga anaknya kerana dia tidak mampu lagi. Dia sudah nencecah usia 70-an dan anaknya berusia 30-an. Walaupun anaknya belum mencederakan sesiapa tetapi dia telah memecahkan tingkap dan pinggan mangkuk di rumahnya.
Tetapi pihak hospital hanya boleh merawat dan tidak boleh menjaga anaknya. Sementara Hospital Permai Tampoi pula sudah tidak lagi menjaga seseorang pesakit mental yang tidak pernah atau belum mencederakan orang. Di Johor tidak ada pusat jagaan pesakut mental swasta yang saya ketahui. Di Selangor, saya diberitahu pusat jagaan pesakit mental bagi lelaki Muslim sudah penuh.
Sejak tahun 1980-an, saya ada pengalaman sama-sama bertanggungjawab memantau seorang anak muda yang menghidap skizofrenia dan gangguan bipolar. Beliau mula dikesan ada penyakit ini pada usia 20-an. Akibat penyakit itu beliau terpaksa berhenti kerja dan masa depan hidupnya musnah.
Selagi dia mengambil ubat dan sentiasa memenuhi janji temu hospital, keadaannya stabil. Bertahun-tahun dia hidup dalam masyarakat dan tidak mengganggu ketenteraman awam. Sungguhpun begitu, perangainya tentulah tidak normal. Ubat itu tidak menjadikannya normal apatah lagi menyembuhkan penyakitnya. Keadaan ini menjadikan orang ramai tidak selesa dengan kehadirannya
Pada awal tahun ini, dia berubah. Dia mengganggu ketenteraman awam dengan tinggal di surau dan mengaji kuat-kuat menggunakan pembesar suara surau. Paling akhir dia mengambil kotak besar berisi aiskrim dari kedai dan memandu motosikal dengan laju dan kemudiannya terbabas, masuk ke parit.
Untuk mencari dia adalah sukar kerana dia lari dari rumah. Laporan polis perlu dibuat supaya polis boleh menjejaki dan menangkapnya. Tetapi polis tidak membawanya sebaliknya menghantar kembali ke rumah, maka dia lari semula.
Perubahan tingkah laku ini disebabkan pesakit itu tidak mengambil ubat. Tidak ada sesiapa yang boleh memaksanya makan ubat. Apatah lagi untuk menyuruhnya pergi ke hospital. Akhirnya pihak hospital dapat menangkapnya di rumah dan membawa ke hospital. Di wad, pesakit itu disuntik dan diberi ubat secara paksa, maka keadaan dia reda. Tetapi hospital tidak boleh menjaganya lama-lama. Waris perlu datang untuk mengambilnya pulang walaupun mereka juga kurang berkemampuan untuk menjaganya.
Tetapi di rumah, pesakit itu enggan memakan ubat. Segala pujukan dan hujah tidak dapat dia diterima. Sebaliknya ia hanya menambah tekanan kepada para warisnya. Hanya selepas beberapa hari berada di rumah dia pun hilang semula.
Kitaran ini berlaku semula dan cara terbaik ialah meletakkannya di rumah jagaan pesakit mental persendirian. Sebuah rumah penjagaan di Selangor ditemui, yang dapat menerimanya dan berdaftar dengan Kementerian Kesihatan. Tidak banyak orang atau NGO yang mahu mengusahakan penubuhan pusat jagaan pesakit mental.
Penyakit mental adalah suatu keadaan yang malang bagi seseorang, keluarga dan masyarakat. Tetapi ia merupakan realiti di mana-manapun di dunia yang mana masyarakat perlu mengendalikannya.
Polisi pihak berkuasa pengurusan pesakit mental wajar mengambil kira juga kesejahteraan keluarga atau waris pesakit mental di samping ketenteraman awam. Maka pusat jagaan pesakit mental perlu turut ditubuhkan oleh kerajaan dan bukan hanya mengharapkan swasta mengendalikannya.
ZIN MAHMUD ialah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.
Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.