Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pekerja, majikan sambut baik gaji minimum naik RM1,700

BELANJAWAN 2025 | Dua kumpulan terbesar yang mewakili pekerja dan majikan di Malaysia menyambut baik langkah kerajaan untuk menaikkan gaji minimum, daripada RM1,500 kepada RM1,700, bermula Februari depan.

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) dalam kenyataan berasingan mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Menteri Sumber Manusia Steven Sim atas pengumuman tersebut semasa pembentangan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat semalam.

Presiden MTUC Mohd Effendy Abdul Ghani berkata pengumuman itu adalah tanda komitmen kerajaan untuk melindungi kebajikan pekerja, terutama golongan berpendapatan rendah.

“Peningkatan gaji minimum adalah langkah penting yang dapat membantu meringankan beban kenaikan kos hidup akibat inflasi dan tekanan ekonomi global.

“Ini juga selaras dengan niat kerajaan untuk mengangkat ekonomi yang lebih adil dan memastikan tiada pekerja yang tertinggal dalam pembangunan secara keseluruhan,” kata Effendy (gambar utama).

Presiden MEF Syed Hussain Syed Husman juga mengucapkan terima kasih kepada Anwar atas pengumuman tambahan berkenaan penangguhan pelaksanaan gaji minimum baru selama enam bulan bagi majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja, yang berkuat kuasa mulai 1 Ogos 2025.

Syed Hussain Syed Husman

“MEF berterima kasih kepada perdana menteri dan kerajaan yang memahami serta mengambil kira cabaran yang dihadapi oleh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME) dalam menentukan kadar gaji minimum baru sebanyak RM1,700 dan memberikan tempoh yang munasabah untuk majikan,” katanya.

Dia juga memuji Sim yang telah mengadakan perbincangan lebih awal melibatkan majikan dan pekerja berkenaan cabaran yang dihadapi dalam perkara itu.

“MEF juga mengucapkan terima kasih kepada Majlis Perundingan Gaji Negara (NWCC) kerana memudahkan mesyuarat untuk ahli NWCC bagi membincangkan dan membahaskan isu-isu ini sebelum mencapai keputusan bersama secara sebulat suara.

“NWCC telah mengemukakan cadangannya kepada kerajaan mengenai semakan kadar gaji minimum,” katanya lagi.

Memacu ekonomi, mengangkat pekerja

Sementara itu, MTUC menyeru agar penguatkuasaan gaji minimum yang baru dilakukan secara tegas.

Ia juga meminta majikan yang ada memiliki kemampuan kewangan untuk menawarkan gaji yang lebih tinggi sebagai penghormatan terhadap sumbangan pekerja mereka.

“MTUC percaya bahawa peningkatan ini bukan sahaja akan meningkatkan taraf hidup pekerja, tetapi juga menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi melalui peningkatan kuasa beli rakyat.

“Ini akan memberi manfaat kepada ekonomi negara secara keseluruhan memandangkan peningkatan penggunaan domestik akan merangsang perniagaan tempatan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif,” kata Effendy lagi.

Sementara itu, Syed Hussain berkata MEF berpendapat “kebanyakan majikan” sudah memberi gaji melebihi paras gaji minimum, dan majikan yang mampu harus digalakkan untuk melakukannya.

“Tiada sesiapa pun seharusnya menggunakan gaji minimum sebagai alasan untuk membayar gaji berdasarkan (paras) gaji minimum.

“Adalah wajar dan menjadi amalan baik bagi majikan untuk memberi gaji pekerja berdasarkan prestasi mereka dan prestasi perniagaan,” katanya.

Katanya lagi, pembayaran gaji minimum tidak pernah menjadi isu bagi syarikat multinasional, GLC, GLIC, dan syarikat tempatan besar, tetapi ia memberi cabaran bagi perusahaan mikro, kecil, dan sederhana.

Risiko kehilangan pekerjaan

Sementara itu, Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) William Ng berkata syarikat kecil akan “terjejas teruk” oleh peningkatan gaji minimum itu.

“Samenta setuju yang gaji di Malaysia terlalu rendah, dan lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk meningkatkan gaji rakyat Malaysia.

William Ng

“Namun, gaji minimum ini diumumkan ketika keuntungan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengalami kemerosotan dan akan mengganggu operasi mereka.

Katanya, PKS khususnya di Sabah dan Sarawak akan berdepan kesukaran untuk melaksanakan dasar itu, dengan risiko “kehilangan pekerjaan yang besar” bagi pekerja berpendapatan rendah yang bergantung kepada pekerjaan separa mahir.

“Kami mendesak kerajaan untuk memperhalusi soal gaji minimum agar negeri-negeri yang kurang maju dapat mengekalkan gaji minimum semasa atau menghapuskan gaji minimum sepenuhnya,” katanya.

“Di bandar-bandar utama, seperti Lembah Klang, selatan Johor dan Pulau Pinang, gaji median sudah jauh lebih tinggi daripada RM1,700 yang diumumkan,” katanya lagi.

Pada masa ini, kadar gaji minimum adalah RM1,500 dan dikuat kuasa sejak 1 Julai 2023. Ia peningkatan daripada kadar sebelumnya, iaitu RM1,200.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS