Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Subsidi RON95: K'jaan pertimbang syor tunjuk MyKad di pam minyak - Loke
Diterbitkan:  Oct 18, 2024 10:22 PM
Dikemaskini: 2:22 PM

Mekanisme subsidi bersasar untuk petrol RON95 masih dalam perancangan dan dijangka akan dilaksanakan pada pertengahan tahun depan, menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Loke berkata antara cadangan yang sedang dipertimbangkan memerlukan rakyat Malaysia menunjukkan MyKad mereka di pam minyak kerana warga asing tidak layak menerima subsidi petrol.

"Prinsip dan hala tuju dasar yang telah disebut oleh perdana menteri ialah 85 peratus daripada penduduk tidak akan terbeban dengan kenaikan harga RON95," tegasnya.

"MyKad boleh membuktikan kita rakyat Malaysia. Jadi, apabila anda pergi ke stesen minyak, seperti anda menyelit kad kredit atau kad bonus link, anda hanya perlu menyelitkan MyKad supaya harga pam yang dipaparkan pada kadar subsidi untuk rakyat Malaysia.

“Kami masih perlu memuktamadkan mekanisme ini dalam beberapa bulan akan datang.

“Saya rasa lebih banyak butiran akan diumumkan oleh Kementerian Kewangan dalam beberapa bulan lagi,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan, mengumumkan di Dewan Rakyat bahawa kerajaan dalam Belanjawan 2025 merancang untuk melaksanakan subsidi bersasar bagi RON95 bermula pertengahan tahun depan.

Dia berkata 85 peratus rakyat akan terus mendapat manfaat daripada subsidi RON95, yang akan menelan belanja kerajaan sebanyak RM12 bilion.

Anwar berkata subsidi berskala besar pada masa ini turut memberi manfaat kepada "golongan kaya-raya dan warga asing", dan dana ini lebih baik disalurkan untuk pendidikan, kesihatan, pengangkutan awam dan membantu masyarakat Orang Asli.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS