Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
3 kanak-kanak maut, seorang kritikal selepas kereta terjunam dalam sungai
Diterbitkan:  Oct 18, 2024 10:03 PM
Dikemaskini: 2:03 PM

Tiga kanak-kanak maut manakala enam lagi terselamat selepas sebuah kereta Perodua Alza yang dipandu seorang lelaki terjunam ke dalam sungai di Kampung Awat-Awat, Jalan Awat-Awat, Sundar, di Lawas tengah hari tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata mangsa, Mohamad Nazran Awang Matasan,10, Mohd Fayard Mohd Azmi, 5, dan Eryna Akifa Imani Zukri, 8, dilaporkan meninggal dunia semasa diberikan rawatan di Hospital Lawas.

Beliau berkata seorang lagi kanak-kanak perempuan, Madieenatul Munawarah Mohd Azmi, 9, dikejarkan ke Hospital Miri untuk rawatan lanjut dan dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.

“Kenderaan tersebut dinaiki 10 orang dengan lapan daripadanya pelajar Sekolah Kebangsaan Agama (MIS) Lawas manakala seorang kanak-kanak berusia 5 tahun merupakan anak kepada pemandu  berusia 38 tahun itu.

“Enam daripada mereka termasuk pemandu berjaya menyelamatkan diri selepas lelaki itu bertindak membuka pintu bonet bahagian belakang kereta. Tiga kanak-kanak yang terperangkap di dalam kenderaan yang tenggelam itu telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Sundar, Lawas,” katanya dalam kenyataan petang ini.

Beliau berkata panggilan berhubung kejadian itu diterima pada 1.15 tengah hari dan tujuh anggota dengan satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas telah digerakkan ke lokasi.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS