Kerajaan tidak mempunyai kerangka jelas untuk melaksanakan inisiatif yang diumumkan dalam Belanjawan 2025, dakwa Naib Presiden Bersatu Radzi Jidin.
Ahli parlimen Putrajaya itu berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim hanya menyebut inisiatif secara umum tanpa penjelasan lanjut.
"Ada disebut data ekonomi tetapi tidak dinyatakan bagaimana negara hendak dipacu dan apakah kerangka besar dalam konteks struktur atau strategik ekonomi yang akan dilaksanakan.
"Apa yang lebih menyukarkan bagi pihak di luar sana khususnya pelabur dan penganalisis pasaran adalah perincian tentang beberapa perkara penting yang disebut dalam Belanjawan 2025 tidak mempunyai maklumat lanjut,” katanya pada Sidang Media Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.
Radzi memberikan contoh perluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
“Dikatakan SST akan ditingkatkan bagi skop tertentu dan diperluaskan skopnya tetapi di mana perinciannya?
“Kalau kita sediakan bajet tanpa perincian, berapa sebenarnya hasil yang akan dikutip oleh kerajaan daripada keluasan skop SST ini?
“Perincian yang tidak jelas akan menyebabkan sektor di luar sana akan tertanya-tanya ke mana kerajaan hendak bawa ekonomi Malaysia dalam percukaian melibatkan SST. Justeru, mereka di luar sana memerlukan kepastian, kita tidak boleh meletakkan pelabur dalam keadaan yang tidak tentu,” katanya.
Terdahulu Anwar yang juga menteri kewangan membentangkan Belanjawan 2025 bertemakan 'Ekonomi Madani, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera', di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas lanjut, Radzi berkata perkara penting melibatkan urus tadbir negara sepatutnya sudah diperincikan di dalam Belanjawan 2025 berbanding menyebut secara umum.
“Sebagai contoh lain seperti subsidi bersasar bagi petrol yang disebut bahawa ia akan dilaksanakan tetapi tidak dinyatakan apa sebenarnya yang ingin dilaksanakan. Sepatutnya perkara ini sudah dimasukkan di dalam belanjawan.
“Kerajaan tidak boleh menyebut secara umum begitu sahaja, ini adalah belanjawan. Ramai yang menunggu kerajaan memberi belanjawan yang jelas dan dalam kerangka yang dapat difahami selain mampu dianalisis oleh semua pihak,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man turut menyoal kedudukan defisit kerajaan yang tidak dinyatakan ketika pembentangan belanjawan.
Tuan Ibrahim berkata, perkara itu seharusnya dimaklumkan supaya ahli Parlimen dapat meneliti pertimbangan sewajarnya.
"Apa yang perlu dibentang ialah pembelanjaan. Kita harus tahu juga dari segi sumber pendapatan sebab kerajaan mungkin akan kurangkan pinjaman.
"Jadi sejauh mana pembelanjaan negara berbanding sumber pendapatan, kos yang ditanggung kerajaan apabila hapuskan subsidi," katanya.
Wan Saiful puji beberapa inisiatif
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim yang juga ahli parlimen Kubang Kerian berkata kerajaan perlu meneliti sumber baru dan tidak bergantung kepada cukai semata-mata.
Menurutnya, kebergantungan itu akan mengakibatkan rakyat menanggung beban secara langsung dan tidak langsung.
"Jadi kalau perlu dilihat, apakah sumber-sumber yang tidak membebankan rakyat," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan yang ditemui turut menyoal beberapa perkara yang tidak diperincikan dalam Belanjawan 2025 kali ini.
"Kita menunggu ada pengumuman yang signifikan tetapi pengumuman itu tak datang.
"Saya mengharapkan lebih banyak pengumuman mengenai pembukaan ekonomi negara kepada pelabur-pelabur asing, apa insentif untuk pelabur-pelabur domestik.
"Itu yang saya tunggu-tunggu tadi tetapi tidak berapa jelas dalam ucapan yang ada. Mungkin dalam dokumen yang disertakan ada, tapi kita kena kaji dululah," katanya.
Bagaimanapun Wan Saiful memuji beberapa inisiatif diumumkan oleh Anwar yang disifatkannya baik untuk rakyat.
"Saya amat berminat dengan insentif yang diumumkan terhadap keluarga yang mempunyai anak-anak autisme. Ini satu perkara telah lama ditimbulkan oleh mereka yang mempunyai anak autisme dan bantuan diumumkan.
"Pada masa sama, ada juga beberapa program bantuan lain yang saya suka seperti insentif pelepasan cukai diberikan untuk Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).
"Itu perkara yang saya perjuangkan semasa saya (Pengerusi) PTPTN dahulu (dan ia) diteruskan Alhamdulillah. Saya rasa ini perkara yang baik," katanya.