Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP pembangkang akui Bajet 2025 ada inisiatif baik
Diterbitkan:  Oct 18, 2024 8:42 PM
Dikemaskini: 12:42 PM

Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan mengakui Belanjawan 2025 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan hari ini, mengandungi inisiatif yang baik.

Wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) itu berkata antara inisiatif tersebut ialah insentif pelepasan cukai kepada pendeposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).

"Ada beberapa inisiatif yang diumumkan yang perlu kita iktiraf bahawa ia adalah inisiatif yang baik.

"Contohnya, saya amat berminat dengan insentif yang diumumkan terhadap keluarga yang mempunyai anak autistik. Ini sudah lama ditimbulkan oleh mereka yang mempunyai anak autistik dan bantuan yang diumumkan adalah baik.

"Pada masa sama, ada bantuan lain yang saya rasa perkara baik seperti insentif pelepasan cukai diberikan untuk SSPN," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Sementara itu, seorang lagi Ahli Parlimen pembangkang mewakili PN dari Putrajaya Datuk Dr Radzi Jidin meminta kerajaan memberikan perincian lebih jelas berhubung kerangka ekonomi yang akan difokuskan bagi 2025.

Sebagai contoh, beliau berkata kerajaan perlu memberikan penjelasan lanjut tentang mekanisme pelaksanaan penyasaran semula subsidi.

“Apabila berlaku penyasaran subsidi, bagaimana ianya memberi kesan kepada kos kehidupan rakyat dan bagaimana perkara ini hendak ditangani dengan lebih komprehensif,” katanya.

Belanjawan 2025 yang diumumkan Perdana Menteri melibatkan peruntukan RM421 bilion iaitu belanjawan tertinggi pernah diumumkan dengan RM335 bilion adalah untuk belanja mengurus, RM86 bilion bagi perbelanjaan pembangunan, tidak termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS