Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar petik ungkapan ahli falsafah dari seluruh dunia
Diterbitkan:  Oct 18, 2024 7:08 PM
Dikemaskini: 12:02 PM

Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang membentangkan Belanjawan 2025, memetik ungkapan daripada beberapa ahli falsafah Greek, China dan India, sama seperti ucapan belanjawan sebelum ini.

Bermula dengan ulama tafsir Imam al-Baydawi dalam kitabnya yang tersohor Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta’wil (Cahaya wahyu dan rahsia tafsir) , Anwar berkata sunnatullah alam harus digarap tatkala kitaran hujan dari langit menjadi prasyarat penting yang menyuburkan tanaman dan memberikan banyak manfaat kepada manusia. 

"Semuanya diciptakan Allah SWT agar manusia memerhati, merenung, mempelajari, mengolah dan menguruskannya dengan penuh amanah. 

“Tanpa ketinggian ilmu, hikmah dan usaha terancang, kita tidak akan mampu meraih manfaat daripada bumi bertuah ini,” katanya.

Anwar juga mengungkap kata-kata ahli falsafah Yunani Kuno, Aristoteles daripada Etika Nicomachus buku IV yang menyentuh tentang ilmu kebaikan untuk kehidupan manusia, iaitu matlamat atau penghujung yang menjadi sasaran tindakan manusia.

Dia memetik Aristoteles sebagai menyebut, "Keutamaan kekayaan bukanlah memilikinya tetapi menggunakannya dengan betul."

Anwar dalam ucapan pembentangan itu mengungkap petikan daripada Konfucius dalam The Analects yang berkisar tentang etik, moral, politik selain memberi tumpuan tentang pentingnya kebajikan peribadi dan tadbir urus.

"Seperti yang diungkapkan dengan bijaksana oleh Konfucius dalam The Analects: guò ér bù gǎi, shì wèiguò yǐ, (maksudnya) jika berlaku kesilapan, dan kita tidak memperbetulkannya, maka itulah kesilapan yang sebenar. 

"Kesilapan fatal inilah—menurut Konfucius—yang telah menjerumuskan kita ke perangkap putaran ganas yī cuò zài cuò iaitu mengulangi kegagalan yang sama berulang kali," katanya.

Justeru, tambahnya bahawa kerajaan perlu akur untuk mengambil pendekatan berani.

Bagaimanapun, Anwar mengundang gelak tawa ahli Dewan Rakyat susulan cuba membaca (buku klasik) Thirukkural dalam bahasa Tamil.

"Ini Thirukkural dalam bahasa Tamil. Saya cari hilang (di skrin ucapan teks), saya dah hafal tadi. Saya latih dua jam tadi. Kena izin saya baca bahasa lain," katanya dia tidak dapat mencari dalam skrin ucapan teks.

Namun, dia menemui semula Thirukkural itu dan membaca dalam bahasa Tamil, Urupasiyum Oova piniyum serupagaiyum, seraa thiyalvadu naadu, sambil ahli parlimen menepuk meja sebagai tanda menyokong perdana menteri.

Thirukkural itu menyentuh tanggungjawab pemimpin dan kerajaan yang membawa maksud: 

“Adalah untuk membangun sebuah negara yang bukan sahaja komited mengangkat martabat kehidupan rakyat yang miskin dan daif, bahkan untuk membasmi wabak penyakit dan musuh yang membinasakan.”

Anwar juga turut memetik puisi nukilan A Samad Said berjudul Langkah Lestari selain beberapa bait sajak berjudul Anak Muda oleh penyair Indonesia, WS Rendra.

Belanjawan 2025 Malaysia, juga dikenali sebagai Bajet Madani 2025, bertemakan “Membugar ekonomi, Menjana perubahan dan Mensejahtera rakyat”.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS