Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
1

Kerajaan berhasrat untuk menggubal akta baru bagi membolehkan hukuman tahanan di rumah, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Dalam teks ucapan pembentangan Belanjawan Madani 2025 yang diedarkan kepada media, akta itu dikatakan sebagai alternatif untuk kesalahan tertentu.

Anwar bagaimanapun tidak membaca teks berkenaan ketika pembentangannya di Dewan Rakyat.

"Pesalah dikehendaki berada di tempat tahanan yang dianggap bersesuaian seperti rumah kediaman, rumah jagaan atau asrama pekerja sepanjang tempoh penahanan dengan syarat-syarat ditetapkan dan dipantau pegawai penjara," menurut teks itu.

Perkara itu disebut di bawah tajuk kecil “ikhtiar peluang kedua” yang terkandung dalam teks ucapan Belanjawan Madani 2025 itu.


Baca berkaitan: PANDUANKINI | 'Tahanan rumah': Adakah peruntukan seumpama itu?


Teks itu menyorot bahawa dasar peluang kedua telah beri manfaat kepada lebih 170,000 rakyat yang diisytihar bankrap untuk membina semula kehidupan.

"Melangkah ke hadapan, dasar peluang kedua diperluas kepada syarikat-syarikat yang telah dibankrapkan," kata teks itu.

Pada masa ini, tiada banduan di Malaysia boleh memohon tahanan rumah kerana tiada peruntukan sedemikian dalam sistem perundangan negara, menurut peguam.

Bagaimanapun, peguam Andrew Khoo sebelum ini berkata Seksyen 43 Akta Penjara 1995 membenarkan pembebasan mana-mana banduan “berlesen”, “tertakluk kepada mana-mana peraturan yang dibuat oleh menteri” - dalam kes ini, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Peruntukan itu juga menetapkan bahawa "syarat" untuk pembebasan mana-mana banduan "boleh dinyatakan dalam lesen".

Pada Mac, Putrajaya pada dasarnya bersetuju untuk melaksanakan pembebasan berlesen, melalui tahanan rumah, bagi banduan yang menjalani hukuman penjara empat tahun dan ke bawah, sebagai usaha mengurangkan kesesakan di penjara.

Anwar dalam ucapannya pula berkata bagi mengembalikan banduan ke dalam masyarakat, Program Peluang Kedua (Peka) oleh Jabatan Penjara juga akan diteruskan, manakala Agensi Antidadah Kebangsaan turut dilibatkan sesuai keputusan yang disepakati untuk menyahjenayah penagih dadah.

"RM10 juta disediakan untuk menjayakan program Peka. Program Baitul Mahabbah akan diteruskan oleh Jabatan Imigresen dengan kerjasama NGO dan pertubuhan antarabangsa berkaitan.

"Ini bagi memastikan kanak-kanak warga asing mendapat perlindungan di tempat sementara yang sesuai selain di Depot Tahanan Imigresen," kata Anwar lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS