Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Israel kecam ketua PBB atas pembunuhan Sinwar, Hamas ikrar terus berjuang
Diterbitkan:  Oct 18, 2024 6:46 PM
Dikemaskini: 10:46 AM

Israel mengecam Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Gueterres kerana tidak "mengalu-alukan" berita kematian pemimpin Hamas Yahya Sinwar.

Menurut Guardian, Menteri Luar Israel Katz mendakwa bahawa ketua PBB itu "mengetuai agenda anti-Israel dan anti-Yahudi yang melampau".

“Guterres tidak mengalu-alukan penghapusan pengganas besar Yahya Sinwar, sama seperti dia enggan mengisytiharkan Hamas sebagai pertubuhan pengganas selepas pembunuhan beramai-ramai pada 7 Oktober.

"Kami akan terus menganggapnya sebagai persona non grata dan tidak membenarkannya menjejaki bumi Israel," katanya.

Sementara itu, seorang pegawai kanan Hamas berkata bahawa kematian pemimpinnya tidak akan membantutkan perjuangan atau menamatkan usaha mereka.

“Hamas adalah gerakan pembebasan yang diketuai oleh mereka yang cintakan kebebasan dan mempunyai maruah, dan ini tidak boleh dihapuskan,” kata Basem Naim, anggota kanan biro politik Hamas, kepada AFP.

“Nampaknya Israel percaya bahawa membunuh pemimpin kita bermakna berakhirnya gerakan kita dan perjuangan rakyat Palestin.

"Hamas setiap kali menjadi lebih kuat dan lebih popular, dan para pemimpin ini menjadi ikon untuk generasi akan datang untuk meneruskan perjalanan ke arah Palestin yang merdeka," tambahnya.

Awal pagi ini, Katz mengesahkan bahawa Sinwar, yang disifatkan sebagai dalang di sebalik serangan 7 Oktober tahun lalu, telah terbunuh.

Menteri itu menyifatkan ini sebagai "pencapaian ketenteraan dan moral yang penting untuk Israel dan kemenangan untuk seluruh dunia".

“Penghapusan Sinwar membuka kemungkinan pembebasan segera tebusan dan membuka jalan kepada perubahan yang akan membawa kepada realiti baharu di Gaza – tanpa Hamas dan tanpa kawalan Iran,” tambahnya.

BBC memetik Pasukan Pertahanan Israel yang mendakwa Sinwar telah dibunuh oleh tenteranya semasa operasi di selatan Gaza pada Rabu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS