Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
4 juta akan terima Sara tahun depan, jumlah naik 6 kali ganda
Diterbitkan:  Oct 18, 2024 5:59 PM
Dikemaskini: 9:59 AM

Kerajaan bercadang menambahkan jumlah penerima Sumbangan Asas Rahmah (Sara) kepada 4.1 juta berbanding 700,000 penerima tahun ini, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Katanya, kerajaan sedang mengambil langkah-langkah untuk memperbaiki pengurusan, meluruskan dari ketempangan, mengelak dari ketirisan termasuk kebijakan penyasaran subsidi dan peluasan asas hasil itu adalah antara lain bagi mengupayakan bantuan yang lebih bermakna kepada rakyat.

"Maka, untuk tahun 2025 kerajaan akan memberi peningkatan tertinggi bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) iaitu kepada RM13 bilion berbanding RM10 bilion.

"Peningkatan ini terus memberi manfaat kepada sembilan juta penerima atau bersamaan 60 peratus penduduk dewasa negara. Tahun hadapan, 4.1 juta penerima STR kategori isi rumah akan menerima Sara sebanyak RM100 sebulan, berbanding 700,000penerima tahun ini," katanya dalam ucapan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar yang juga menteri kewangan berkata bantuan Sara akan dikreditkan ke dalam MyKaD penerima bermula April 2025.

Katanya, ia boleh dibelanjakan untuk membeli barangan asas seperti makanan dan minuman, ubat-ubatan, barang persekolahan serta kebersihan diri di lebih 600 pasar raya dan kedai runcit seluruh negara.

Bagi kategori bujang akan menerima bantuan STR sebanyak RM600.

Katanya, penambahan peruntukan RM3 bilion membolehkan kadar maksimum yang diterima isi rumah meningkat kepada RM4,600 ketimbang RM3,700.

"Kita akui dan mendengar rungutan tentang kos sara hidup.

"Lantaran itu, kita mengambil langkah serta kebijakan ekonomi yang merupakan peningkatan peruntukan dan kadar maksimum bantuan tunai yang tertinggi pernah diberikan kerajaan dalam menangani kos sara hidup rakyat," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS