mk-logo
Berita
LANGSUNG | RM45.3 bilion untuk Kementerian Kesihatan, peruntukan kedua tertinggi

Perdana Menteri Anwar Ibrahim membentangkan rancangan fiskal ketiga bagi kerajaan gabungannya di Dewan Rakyat.

Anwar, yang juga merupakan menteri kewangan, berkata Belanjawan 2025 akan terus memacu pertumbuhan ekonomi dan memastikan keadilan untuk rakyat.

Perdana menteri mula membentangkan Belanjawan 2025 pada pukul empat petang.

Ini merupakan belanjawan terakhir di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) sebelum peralihan kepada Rancangan Malaysia Ke-13 bagi tempoh lima tahun akan datang.

Ikuti perkembangan langsung bersama Malaysiakini.



Elaun khas RM500 penjawat awam gred 56 ke bawah

6.25 petang - Penjawat awam gred 56 dan ke bawah, termasuk pekerja kontrak, akan menerima elaun khas sebanyak RM500, manakala pesara akan menerima RM250.

Elaun panggilan untuk doktor dalam perkhidmatan awam juga akan dinaikkan kepada RM65 sejam dari RM55 sejam.


Pengecualian cukai rawat kanak-kanak autistik naik ke RM6k

6.15 petang - Pengecualian cukai untuk merawat kanak-kanak autisme dinaikkan kepada RM6,000 daripada RM4,000.

Kerajaan juga memperuntukkan RM15 juta untuk membantu yuran sekolah bagi kanak-kanak autisme.

Pengecualian cukai peribadi juga akan diperluas merangkumi vaksinasi, peralatan sukan untuk ibu bapa dan rawatan perubatan untuk datuk nenek, sementara potongan cukai untuk majikan yang memberikan elaun penjagaan kanak-kanak juga akan diperluas untuk merangkumi penjagaan orang tua.

Pengecualian cukai tambahan bagi orang kurang upaya dinaikkan kepada RM7,000, pengecualian cukai bagi pasangan kurang upaya meningkat kepada RM6,000 manakala pengecualian cukai bagi tanggungan kurang upaya yang tidak berkahwin dinaikkan kepada RM8,000.


Khidmat Negara 3.0 akan dilaksana

6.10 petang - Anwar mengesahkan program perintis untuk Khidmat Negara 3.0 akan dilaksanakan, dengan peruntukan sebanyak RM50 juta.


Tambang percuma pelajar IPT guna BAS.my

6.10 petang - Prasarana akan menyediakan van transit untuk mengangkut pelajar sekolah dari stesen kereta api ke sekolah dengan tambang 50 sen untuk satu perjalanan.

Sementara itu, semua pelajar pendidikan tinggi yang menggunakan perkhidmatan BAS.my di seluruh negara berhak mendapat tambang percuma.


Pelepasan cukai pemilik rumah pertama

6.07 petang - Pemilik rumah kali pertama akan mendapat pelepasan cukai sehingga RM7,000 ke atas pembayaran faedah, untuk rumah yang berharga di bawah RM500,000.

Pemilik rumah yang berharga lebih RM500,000 hingga RM750,000, pula akan menerima pelepasan cukai sebanyak RM5,000.


RM200 juta baiki lif rosak di perumahan awam kos rendah

6.05 petang - RM200 juta diperuntukkan untuk membaiki lif yang rosak di perumahan awam kos rendah.

Sementara itu, RM100 juta akan diperuntukkan untuk menaik taraf 48 taman awam Madani.

Kampung-kampung baru Cina akan menerima RM84 juta untuk menaik taraf kemudahan dan keperluan komuniti lain.

Walaupun tidak disebut dalam ucapannya, satu slaid menyatakan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan diamanahkan untuk menangani keperluan kampung India.


Penjawat awam, pesara usia atas 60 terus dirawat di IJN

6.00 petang - Penjawat awam, terutamanya pesara berusia lebih 65 tahun, yang sudah menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) boleh terus mendapatkan rawatan di situ, kata Anwar.

Ini menjawab kritikan terhadap penjawat awam yang menerima rawatan di IJN yang dirujuk untuk rawatan susulan di hospital awam lain.


RM45.3 bilion untuk Kementerian Kesihatan, peruntukan kedua tertinggi

6.00 petang - Anwar menggesa pengurusan hospital awam meningkatkan kemudahan dan tandas mereka, yang disebutnya berada dalam keadaan yang teruk.

Kata perdana menteri, pengurusan seharusnya membiayai usaha tersebut dengan sebahagian daripada RM45.3 bilion yang diperuntukkan kepada Kementerian Kesihatan - peruntukan kedua tertinggi untuk sebuah kementerian dalam Belanjawan 2025.

Sementara itu, duti eksais ke atas minuman bergula akan meningkat secara berperingkat, bermula dengan kenaikan 40 sen pada 1 Januari tahun depan.

Dana tambahan ini akan digunakan untuk membiayai kesihatan awam, termasuk untuk pusat rawatan diabetes.


RM4 bilion biasiswa pelajar miskin, pendapatan sederhana

5.55 petang - RM4 bilion diperuntukkan untuk biasiswa.

Anwar menyatakan bahawa GLIC dan GLC komited untuk memastikan 50 peratus biasiswa diberikan kepada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana.

Pelepasan cukai bagi ibu bapa yang menyumbang kepada SSPN juga akan dilanjutkan untuk tiga tahun lagi.

RM635 juta diperuntukkan untuk penyelenggaraan dan pembaikan di universiti awam, serta memperluaskan akses internet.

RM20 juta akan diperuntukkan kepada UiTM untuk melatih lebih ramai jurutera elektrik dan elektronik, manakala RM50 juta akan diperuntukkan untuk penyelidikan AI di semua universiti awam.


RM2 bilion bantuan makanan pelajar asrama

5.50 petang - Kerajaan memperuntukkan RM2 bilion untuk bantuan makanan kepada pelajar di sekolah asrama.

Program Makanan Tambahan (RMT) juga akan menerima RM870 juta dan akan memberi manfaat kepada 860,000 pelajar.

Sementara itu, Bantuan Persekolahan Awal untuk semua pelajar dari Tahun Satu hingga Tingkatan 5 - tanpa mengira latar belakang ibu bapa - juga akan diteruskan tahun depan.


5.45 petang - KWSP sedang meneliti kaedah pemindahan simpanan antara waris.

Sementara itu, semua pekerja asing juga diwajibkan menjadi pencarum KWSP.

Pelepasan cukai ke atas premium untuk skim persaraan swasta juga dilanjutkan kepada 2030.


STR, Sara meningkat

5.35 petang - Gabungan kuantum untuk Bantuan Tunai Rahmah (STR) dan Bantuan Keperluan Rahmah (Sara) akan meningkat kepada RM4,600 tahun depan.

Bagaimanapun, Anwar tidak memberikan pecahan tepat dalam ucapan belanjawannya.

Bagaimanapun, Anwar berkata 4.1 juta isi rumah akan menerima Sara sebanyak RM100 sebulan mulai April tahun depan.

Individu bujang pula, akan menerima RM600 dalam STR.


RM40 bilion pinjaman untuk usahawan

5.30 petang - Kerajaan memperuntukkan RM40 bilion sebagai kemudahan pinjaman untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana.

Ini termasuk RM3.2 bilion untuk orang kurang upaya, RM130 juta untuk masyarakat India, dan RM5 bilion untuk PKS Bumiputera.

Mara dan PUNB juga akan memperuntukkan RM800 juta pembiayaan untuk usahawan bumiputera, manakala kerajaan memperuntukkan RM1.3 bilion kepada kontraktor G1-G4 khususnya dalam kalangan bumiputera.


Perodua lancar EV harga bawah RM100,000 tahun depan

5.20 petang - Anwar mengumumkan Perodua dalam rangka mengeluarkan kenderaan elektrik (EV) yang berharga kurang daripada RM100,000 pada tahun depan.

Insentif RM2,400 untuk pembelian motosikal elektrik juga akan dilanjutkan tahun depan.

Sementara itu, program Net Energy Metering (NEM) untuk pemasangan panel solar akan dilanjutkan hingga 30 Jun tahun depan.


RM600 juta pulihkan bangunan Sultan Abdul Samad, Carcosa

5.15 petang - Bangunan Sultan Abdul Samad dan Carcosa Seri Negara akan menerima penampilan baru, dengan RM600 juta diperuntukkan untuk memulihkan dan meningkatkan nilai dua mercu tanda negara ini.

Ini termasuk pembinaan jambatan bertingkat yang menghubungkan Taman Botani Perdana dan Carcosa Seri Negara.

Kerajaan juga memperuntukkan RM110 juta untuk menyokong destinasi ekopelancongan seperti Taman Negara Endau Rompin, Pulau Redang, dan Pantai Tusan.


RM250 juta tangani hakisan tanah, lubang benam

5.05 petang - Menyentuh mengenai insiden lubang benam di Jalan Masjid India yang meragut nyawa seorang pelancong India, Anwar berkata kerajaan sedang mengambil langkah untuk menangani hakisan tanah.

Ini termasuk RM250 juta untuk membaiki cerun di seluruh negara, RM21 juta untuk menangani lubang benam di Kerian Laut, Perak, Kedah dan Perlis.

Sementara itu RM10 juta untuk kajian geoteknikal mengenai struktur tanah di jalan-jalan utama, terutamanya di kawasan segi tiga emas Kuala Lumpur.


Peruntukan segera RM150 juta atasi banjir kilat

5.03 petang - Dalam usaha menangani banjir kilat di ibu negara dan bandar-bandar lain, RM150 juta akan diperuntukkan segera kepada pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Pengairan dan Saliran untuk membersihkan longkang dan mendalamkan sungai.

Anwar menyeru pihak berkuasa tempatan dan penduduk bandar untuk bersama-sama memastikan longkang tidak tersumbat.

Kerajaan juga memperuntukkan RM600 juta kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk persediaan menghadapi banjir, termasuk RM300 juta yang telah diperuntukkan untuk tujuan ini.


RM1 bilion program pemerkasaan masyarakat

4.55 petang - Sebanyak RM1 bilion akan diperuntukkan untuk program pemerkasaan komuniti.

Ini termasuk RM600 juta untuk memperbaiki ekonomi luar bandar di kampung, bandar, kawasan pedalaman dan perkampungan Orang Asli; RM200 juta untuk memperluaskan program Kampung Angkat Madani dan RM100 juta untuk program sosioekonomi di Projek Perumahan Rakyat (PPR).


PM janji orang ramai tak lagi beratur lama di pejabat k'jaan

4.50 petang - Anwar berikrar orang ramai tidak lagi perlu beratur berjam-jam untuk mendapatkan perkhidmatan kerajaan.

Katanya kerajaan akan membentangkan rang undang-undang mengenai kecekapan pentadbiran awam, yang bertujuan mengurangkan birokrasi, mempercepatkan proses dan menjadikan perkhidmatan kerajaan lebih cekap.

Kerajaan akan memperuntukkan RM5 juta kepada Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) untuk bekerjasama dengan Perbadanan Produktiviti Malaysia bagi melaksanakan reformasi ke atas birokrasi di semua agensi.


Geran khas Sabah, S'wak naik kepada RM600 juta

4.40 petang - Anwar mengumumkan bahawa geran khas kepada Sabah dan Sarawak akan dinaikkan kepada RM600 juta setahun mulai 2025.

Kerajaan pimpinan Anwar sebelum ini menaikkan kadar geran tersebut kepada RM300 juta untuk Sarawak, dan RM125.6 juta untuk Sabah pada tahun ini.

Sebelum ini, Anwar menyatakan bahawa kadar geran ini tidak pernah disemak sejak tahun 1969.


Yuran pendidikan naik untuk anak keluarga pendapatan tinggi

4.35 petang - Anwar menyatakan kerajaan merancang untuk menaikkan yuran bagi anak-anak daripada kumpulan pendapatan teratas 15 peratus (T15) yang belajar di sekolah berasrama penuh kerajaan seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) serta di institusi pengajian tinggi awam.

Pada masa ini, dia menjelaskan 30 peratus pelajar di sekolah-sekolah elit dan universiti awam tersebut berasal dari keluarga berpendapatan tinggi.

Dia memberi contoh seorang siswa yang mengambil ijazah farmasi hanya perlu membayar RM3,000 dalam yuran, sedangkan kos sebenar RM30,000.

Kumpulan T15 juga akan dikenakan bayaran tambahan untuk perkhidmatan kesihatan awam.


Kerajaan cadang penyasaran subsidi RON95 tahun depan

4.32 petang - Kerajaan cadang laksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun 2025, kata Perdana Menteri.

Bagaimana pun Anwar Ibrahim tegaskan bahawa tanggungan subsidi masih diteruskan untuk 85 peratus rakyat.

"Kenyataan yang tidak dapat dimungkiri adalah bahawasanya warga asing dan 15 peratus teratas pengguna maha kaya menikmati 40 peratus subsidi petrol RON95 bernilai RM8 bilion (subsidi kerajaan).

"Seyogia diperingatkan bahawa dana RM8 bilion ini lebih baik dimanfaatkan bagi peningkatan kemudahan pendidikan, kesihatan serta pengangkutan awam," katanya dalam pembentangan Belanjawan Madani 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar berkata, sehingga kini, harga RON95 Malaysia ialah RM2.05 5 sen ketimbang negara tetangga seperti Thailand (RM5.85), Indonesia (RM3.38), Singapura (RM9.02) dan Arab Saudi (RM2.66 sen).


Kerajaan akan kenakan cukai dividen

4.29 petang - Anwar mengumumkan kerajaan akan mengenakan cukai dividen ke atas individu bagi dividen yang melebihi RM100,000.

Cukai dividen ini akan bermula untuk tahun taksiran cukai 2025.

Namun begitu, dia berkata mungkin terdapat pengecualian bagi simpanan KWSP, amanah saham di bawah PNB dan dividen dari luar negara.


Cukai SST akan diperluaskan

4.27 petang - Anwar mengumumkan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) akan diperluaskan dan dijadikan lebih progresif bermula 1 Mei tahun depan.

Bagaimanapun, dia memberi jaminan bahawa cukai ini tidak akan membebankan rakyat, dengan cukai jualan tidak akan dikenakan ke atas barang keperluan, tetapi lebih tertumpu kepada barangan import premium seperti salmon dan avokado.


Hasil tahun ini dijangka mencecah RM322 bilion

4.22 petang - Anwar mengumumkan hasil bagi tahun ini dijangka mencapai RM322 bilion, meningkat daripada anggaran asal sebanyak RM308 bilion.

Sementara itu, hasil bagi tahun hadapan dianggarkan sebanyak RM340 bilion.


Anwar terima kasih sokongan dwiparti pinda perlembagaan

4:05 petang: Perdana Menteri Anwar Ibrahim memulakan ucapannya dengan mengucapkan terima kasih kepada ahli parlimen kerajaan dan kerajaan yang menyokong dan meluluskan rang undang-undang pindaan perlembagaan mengenai kewarganegaraan semalam.

Dia berharap sokongan dwipartisan seperti itu akan diteruskan untuk Belanjawan 2025.


Ramli pengerusikan sidang dewan

4:00 petang: Loceng parlimen yang memanggil ahli parlimen untuk memasuki Dewan Rakyat berhenti berbunyi.

Timbalan Speaker Ramli Md Nor - yang memakai pakaian tradisional Orang Asli - mempengerusikan prosiding hari ini.

Dia orang pertama dari kalangan Orang Asli yang mengetuai sidang pembentangan belanjawan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS