Jika dilihat semula, terdapat beberapa perkara yang dikesalkan oleh bekas perdana menteri, Najib Razak berhubung operasi SRC International sehingga kerugian hampir RM4 bilion akibat penyelewengan.
Bagaimanapun, pada ketika itu, Najib yang juga adalah bekas menteri kewangan memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa dia tidak mempunyai sebarang pengetahuan atau maklumat mengenai perkara yang berlaku dalam syarikat pelaburan strategik negara itu yang di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).
Najib yang juga bekas penasihat emeritus serta pemegang saham tunggal SRC ketika itu berkata demikian ketika menjawab soalan peguam SRC, Kwan Wil Sen pada sesi pemeriksaan balas, hari ini..
"Saya mempunyai penyesalan tertentu tetapi berdasarkan kepada masa itu, saya tidak mempunyai pengetahuan atau maklumat (mengenai apa sebenarnya yang berlaku)," katanya.
Bekas ahli Parlimen Pekan itu juga tidak bersetuju dengan cadangan Wil Sen bahawa dia yang menyebabkan SRC International gagal dan menanggung kerugian AS$1.18 bilion sebagaimana yang dinyatakan oleh pakar pemulihan aset luar pesisir yang juga pelikuidasi SRC International, Angela Barkhouse.
Kwan: Bagi seseorang yang mempunyai kuasa besar, anda akan bersetuju bahawa terdapat tanggungjawab yang lebih besar di pihak anda untuk bertindak mengikut undang-undang dan tidak menggunakannya atau memanfaatkan secara peribadi?
Najib: Saya tiada pengetahuan mengenai aliran dana sama sekali, tetapi saya bersetuju sebagai menteri kewangan, saya berada dalam kedudukan akauntabiliti.
Kwan: Berkenaan dengan semua perkara yang berlaku dalam SRC, adakah anda mengambil sebarang tanggungjawab atau sebahagian daripadanya?
Najib: Ia bergantung kepada sama ada saya bertanggungjawab. Saya tidak mempunyai pengetahuan mengenai aliran dana dan saya tidak pernah membenarkan ia ke dalam akaun saya.
Kwan: Bolehkah saya menerima bahawa jawapan anda adalah tidak?
Najib: Tidak.
Najib sebelum ini menegaskan, wang AS$120 juta dalam akaun Ambank miliknya, bukan daripada sumber SRC atau dana daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).
Najib berkata, pasukan peguamnya yang menjalankan analisis terhadap dokumen transaksi kemasukan wang itu merumuskan ia bukan daripada syarikat itu dan KWAP.
Pada Mac lalu, Barkhouse memberitahu mahkamah, Najib menerima wang AS$120 juta dalam akaun bank peribadinya, iaitu dana melalui pinjaman dibuat oleh syarikat pelaburan, SRC daripada KWAP.
Saksi itu berkata, asas keterangan beliau itu adalah berdasarkan kepada aliran dana di mana Najib menerima wang berkenaan melalui tiga transaksi.
Sementara itu, Bernama melaporkan Najib hari ini mengaku di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur bahawa beliau mempunyai penyesalan tertentu terhadap kerugian yang dihadapi SRC International Sdn Bhd.
Najib, sebagai defendan pertama berkata demikian ketika disoal peguam SRC International Kwan Will Sen, dalam saman sivil SRC International bernilai US$1.18 bilion terhadap beliau dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC Nik Faisal Ariff Kamil, yang kini bebas.
Kwan: Dengan sabitan jenayah anda (dalam SRC International) dan semua perkara yang berlaku dalam SRC International, adakah anda mempunyai sebarang penyesalan, Datuk Seri?
Najib: Saya ada penyesalan tertentu, tetapi pada masa itu, saya tidak mempunyai pengetahuan atau maklumat.
Berhubung soalan lain mengenai wang yang masuk ke dalam akaun peribadi beliau daripada SRC International dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Najib mengekalkan keterangannya bahawa beliau tidak tahu tentang perkara itu.
Kwan: Saya juga mencadangkan kepada anda, sebagai seseorang dengan kuasa besar, anda juga akan bersetuju bahawa terdapat akauntabiliti dan tanggungjawab yang lebih besar di pihak anda untuk bertindak mengikut undang-undang dan tidak menggunakan atau mengambil manfaat peribadi daripada wang KWAP atau SRC International. Anda bersetuju atau tidak?
Najib: Saya tiada pengetahuan mengenai aliran dana sama sekali, tetapi saya bersetuju dengan kenyataan bahawa, sebagai Menteri Kewangan, saya berada dalam kedudukan akauntabiliti, perkara itu saya setuju.
Pada Mei 2021, di bawah pengurusan baharu, SRC memfailkan saman itu, mendakwa Najib melakukan pecah amanah jenayah dan salah guna kuasa serta memperoleh ganjaran peribadi daripada dana syarikat selain menyeleweng dana berkenaan.
SRC International sebelum ini menggugurkan lima pengarah syarikat itu daripada saman terbabit dan mengekalkan Najib sebagai defendan tunggal. Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi memberi kebenaran kepada Najib untuk mengeluarkan notis pihak ketiga terhadap mereka.
Syarikat itu memohon deklarasi mahkamah bahawa Najib bertanggungjawab atas kerugian yang dialami syarikat akibat pelanggaran tugas dan amanah beliau serta menuntut bekas Perdana Menteri itu membayar pampasan RM42 bilion bagi kerugian terbabit.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin bersambung pada 21 Okt.