Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gadis didakwa dera kanak-kanak kemuka representasi

Seorang pembantu sebuah pusat jagaan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung empat pertuduhan penderaan fizikal terhadap empat kanak-kanak berusia lima hingga enam tahun.

Peguam Najib Zakaria dan Dorina Abdullah yang mewakili tertuduh Puteri Nurin Amalina Ahmad Daud, 20, memaklumkan perkara itu semasa sebutan kes di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi di Mahkamah Sesyen di Seremban hari ini.

Pada 12 Sept lepas, Puteri Nurin Amalina mengaku tidak bersalah atas empat tuduhan penderaan fizikal terhadap empat kanak-kanak perempuan di sebuah pusat asuhan pada Ogos lepas.

Dia didakwa menekap sudu besi panas pada lengan mangsa hingga menyebabkan kecederaan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611), yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda hingga RM50,000, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Najib merayu agar mahkamah membenarkan jaminan terhadap anak guamnya bagi dua pertuduhan kerana ketika pendakwaan pada 12 Sept lepas, tertuduh tidak diwakili peguam.

Najib menjelaskan bahawa ketika pertuduhan dilakukan di dua mahkamah yang berasingan pada 12 Sept lepas, hanya satu mahkamah membenarkan jaminan, justeru, beliau berharap jaminan dapat dibenarkan bagi mengelakkan ketidakselarasan dalam keputusan tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya Intan Noorashikin Nasarudin pula menyatakan pihak pendakwaan membantah jaminan namun sekiranya dibenarkan, mereka mencadangkan jumlah RM20,000 bagi setiap pertuduhan.

Beliau turut memohon agar tertuduh diarahkan supaya tidak mendekati mangsa dan saksi, melaporkan diri kepada polis setiap bulan, serta sentiasa dapat dihubungi oleh pihak berkuasa.

Bagaimanapun, Najib membalas bahawa tidak ada risiko tertuduh akan menghubungi mangsa kerana mereka kini berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Hakim Meor Sulaiman membenarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 3 Dis untuk sebutan semula kes.

Kes ini dikaitkan dengan operasi besar-besaran bulan lepas menyaksikan ratusan kanak-kanak telah diselamatkan oleh pihak polis menerusi Ops Global dari pusat-pusat yang dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS