Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kadar kesuburan meningkat, tapi kaum Cina masih rendah
Diterbitkan:  Oct 18, 2024 1:38 PM
Dikemaskini: 5:38 AM

Kadar Kesuburan Jumlah (TFR) Malaysia meningkat kali pertama dalam tempoh sedekad kepada 1.7 kanak-kanak bagi setiap wanita pada 2023, berbanding 1.6 tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

TFR mengukur bilangan kanak-kanak yang dilahirkan oleh setiap wanita dalam populasi yang berumur 15 hingga 49 tahun.

Kadar itu meningkat 0.1 merentasi etnik tahun lepas, dengan TFR Melayu tertinggi pada kadar 2.2 kanak-kanak bagi setiap wanita pada 2023, meningkat daripada 2.1 tahun sebelumnya, menurut data yang dikeluarkan hari ini.

Ini diikuti oleh bumiputera lain pada kadar 1.8, India pada 1.2 dan Cina pada kadar paling rendah iaitu 0.9 kanak-kanak bagi setiap wanita.

Ini menunjukkan ramai wanita Cina berumur 15 hingga 49 tahun tidak mempunyai anak.

TFR di Malaysia diawasi dengan teliti selepas ia mula merosot di bawah paras penggantian 2.1 pada 2023.

Paras penggantian merujuk kepada purata bilangan anak yang dilahirkan untuk menggantikan ibu bapanya bagi memastikan kadar penduduk stabil.

TFR bagi masyarakat Melayu masih melebihi paras penggantian.

Di peringkat negeri, Terengganu mengekalkan kedudukannya sebagai negeri dengan TFR tertinggi, iaitu 2.9 pada 2023, diikuti Kelantan (2.7) dan Pahang (2).

Negeri yang mempunyai TFR terendah masih lagi Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, masing-masing pada kadar 1.3 kanak-kanak.

Daerah dengan TFR tertinggi ialah Song di Sarawak, mencatatkan 4.6 kanak-kanak bagi setiap wanita pada 2023, diikuti Bukit Mabung di Sarawak (4.1) dan Pasir Putih di Kelantan (3.5).

Daerah dengan TFR terendah tahun lalu ialah Kinabatangan, Sabah dengan 0.4, diikuti Kalabakan, Sabah (0.6) dan Timur Laut, Pulau Pinang (1).

Kadar kelahiran hidup juga telah kembali ke tahap sebelum pandemik Covid-19, dengan 455,761 kelahiran pada 2023, meningkat 7.7 peratus (32,637 kelahiran) berbanding tahun sebelumnya.

Bilangan kelahiran meningkat merentas etnik.

Sebanyak 51.8 peratus bayi adalah lelaki dan kelahiran dalam masyarakat Melayu paling tinggi.

Kadar kematian orang Cina pula lebih tinggi berbanding kelahiran.

Walaupun Terengganu mempunyai TFR tertinggi, ia juga mempunyai jangka hayat terendah iaitu 72.2 tahun pada 2024, beberapa tahun lebih pendek daripada jangka hayat negara iaitu 75.2 tahun.

Selangor mempunyai jangka hayat tertinggi iaitu 76.2 tahun tahun ini.

Lebih ramai bayi India, Melayu dan bumiputera lain dilahirkan berbanding mereka yang meninggal dalam kumpulan etnik yang sama tahun lalu tetapi dalam komuniti etnik Cina, jumlah kematian pada 2023 melebihi jumlah kelahiran.

Sebagai contoh, 305,494 bayi Melayu dilahirkan pada 2023 manakala 101,289 kematian dicatatkan dalam kumpulan etnik ini.

Dalam kalangan masyarakat India dan masyarakat bumiputera bukan Melayu, masing-masing 27,777 dan 57,602 bayi dilahirkan pada 2023, manakala 16,546 dan 21,067 orang daripada semua peringkat umur masing-masing meninggal dunia dalam komuniti tersebut.

Sebaliknya, 44,818 bayi etnik Cina dilahirkan pada 2023 manakala 51,834 orang daripada semua peringkat umur daripada kumpulan etnik itu meninggal dunia pada tahun yang sama.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS