Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'UKM tak halang kebebasan bersuara, rai perbezaan pendapat'
Diterbitkan:  Oct 18, 2024 10:58 AM
Dikemaskini: 2:58 AM

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tidak menghalang kebebasan bersuara seluruh warganya dalam memberi kenyataan sama ada secara lisan atau bertulis.

Sebaliknya jabatan komunikasi korporat UKM dalam satu kenyataan berkata universiti itu meraikan perbezaan pendapat yang memberi manfaat kepada masyarakat dan negara.

"Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tidak menghalang kebebasan bersuara seluruh warganya dalam memberi kenyataan sama ada secara lisan atau bertulis termasuk di media sosial.

"UKM meraikan sebarang perbezaan pendapat yang memberi manfaat kepada masyarakat dan negara bangsa.

"Etika dan kematangan mengemukakan pandangan dan hujah harus diamalkan melalui tatacara berkomunikasi yang baik, menegur dan mengkritik secara berhemah di mana setiap pandangan perlu disokong dengan fakta serta lingkungan disiplin keilmuan dan kepakaran," menurut kenyataan tersebut.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas memo dari UKM yang melarang ahli akademik membuat kenyataan umum didedahkan.

Semalam, bekas menteri pendidikan Dr Maszlee Malik mendedahkan memo bertarikh 8 Okt itu, yang kemudiannya mendapat kritikan keras.

Memo itu antara lain mengingatkan ahli akademik supaya tidak membuat kenyataan awam, termasuk di media sosial, melainkan dibenarkan atau diberi mandat berbuat demikian.

Ia menyatakan bahawa peringatan kepada semua pegawai awam datang daripada Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar melalui mesyuarat pengurusan Jabatan Perdana Menteri 2024.

Memo itu menambah semua penjawat awam, termasuk dari badan berkanun, dilarang membuat kenyataan awam, sama ada dalam bentuk lisan, bertulis atau lain-lain, yang disifatkan boleh memudaratkan dasar, rancangan atau keputusan oleh mana-mana badan berkanun atau kerajaan mengenai sebarang isu.

"Jika disabitkan dengan kesalahan dan mengingkari mana-mana peraturan yang sedang berkuat kuasa tindakan tatatertib boleh dikenakan kepada pegawai awam yang terlibat," kata memo itu.

UKM dalam kenyataan berkata, sebagai institusi yang menyanjung tinggi intelektual awam, universiti itu sentiasa konsisten dalam menggalakkan warganya untuk bersuara berteraskan kepada tradisi ilmu dan peranannya sebagai universiti watan.

"Kenyataan awam yang berbentuk kontruktif amat digalakkan sebagai wadah ilmu dan disiplin keilmuan yang menjadi pemangkin perbincangan ilmiah dalam kalangan warganya," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS