Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Syed Saddiq: Pindaan kewarganegaraan jejaskan golongan paling rentan
Diterbitkan:  Oct 18, 2024 10:10 AM
Dikemaskini: 2:13 AM

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2024 mengenai hak kewarganegaraan akan menghapuskan perlindungan yang diberikan kepada kumpulan paling rentan iaitu kanak-kanak yang tidak memiliki kewarganegaraan tetapi dilahirkan dan dibesarkan di negara ini.

Dalam video selama tiga minit yang dimuat naik di platform media sosial X, Syed Saddiq menjelaskan mengapa dia merupakan satu-satunya ahli parlimen yang mengundi menentang rang undang-undang itu semalam.

"Pertama sekali, kerana ada lebih 120 NGO dan 84 individu berpengaruh yang telah mendedikasikan berdekad-dekad masa mereka untuk mempertahankan golongan rentan, yang paling khusus iaitu kanak-kanak.

"Mereka telah pun menyampaikan kegusaran mereka terhadap pindaan perlembagaan ini kerana kanak-kanak yang paling berisiko, yang akan teruk terkesan apabila perlindungan yang diberikan perlembagaan ke atas mereka akan dirampas melalui pindaan perlembagaan ini.

"Saya meletakkan kepercayaan kepada pakar-pakar yang telah pun mengeluarkan kenyataan-kenyataan dan kajian mereka,” katanya dalam video berkenaan.

Sebab kedua, kata Syed Saddiq ialah pindaan ini akan menyebabkan kanak-kanak menjadi golongan paling berisiko dan terkesan.

"Pada hari ini kita lihat ada puluhan ribu kes, di mana rakyat Malaysia yang dilahirkan di sini, dibesarkan di sini, bersekolah di sini, bekerja di sini, nak tutup mata - mati pun di sini, tapi sampai ke hari ini, kerana masalah birokrasi, masalah pentadbiran dan dokumentasi, mereka dinafikan hak untuk jadi warga negara Malaysia.

"Tetapi walaupun mereka dinafikan hak, perlembagaan kita agak unik. Perlembagaan kita memberikan perlindungan kepada anak-anak mereka untuk diberikan hak kerakyatan. Dengan pindaan perlembagaan ini, hak kerakyatan yang wajib diberikan kepada anak-anak mereka akan dirampas semula.

Kata Syed Saddiq, sebagai ahli parlimen Muar, dia memahami masalah yang dihadapi golongan itu yang cintakan kepada negara ini.

“Ini anak-anak kumpulan paling rentan, paling berisiko, paling susah, miskin, mereka tidak ada connection, mereka tidak boleh diberikan kewarganegaraan, jadi saya benar-benar bersimpati dengan perjuangan mereka," katanya.

Katanya sebab ketiga ialah walaupun dia meletakkan kepercayaan kepada menteri yang bertanggungjawab (Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail), isu tersebut menurutnya melangkaui pentabdiran menteri.

“Saya rasa mereka yang menggubal Perlembagaan sedar tentang keperluan untuk melindungi kumpulan yang paling berisiko iaitu kanak-kanak ini.

"Tapi apabila perlindungan ini dirampas, ini akan memberikan impak bagi dekad-dekad yang akan datang, melangkaui pentadbiran mana-mana parti, mana-mana kerajaan.

"Sebab itu saya fikir kita perlu memberi kepercayaan dan keyakinan kepada perlindungan Perlembagaan,” katanya.

Semalam Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) mengenai hak kewarganegaraan dengan sokongan lebih dua pertiga.

Seramai 70 ahli parlimen membahaskan rang undang-undang itu pada peringkat bacaan kedua, diikuti undian selepas ucapan penggulungan Saifuddin.

Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul mengumumkan seramai 206 ahli parlimen menyokong rang undang-undang itu, manakala hanya Syed Saddiq menentangnya.

Seramai 14 ahli parlimen tidak hadir dan seorang - Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) digantung daripada menghadiri sidang dewan.

Pengkritik mendakwa RUU itu menafikan hak kanak-kanak yang dilahirkan oleh ibu bapa yang mempunyai status pemastautin tetap untuk mendapat kewarganegaraan automatik.

Pindaan lain termasuk memendekkan had umur bagi mereka yang tidak memiliki kewarganegaraan untuk mendaftar kewarganegaraan daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Selain itu, wanita asing yang diberikan kewarganegaraan kerana berkahwin dengan lelaki warga Malaysia bakal hilang kewarganegaraan sekiranya dia berpisah dengan suami.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS