Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Israel sahkan Yahya Sinwar terbunuh dalam serangan
Diterbitkan:  Oct 18, 2024 8:42 AM
Dikemaskini: 2:17 AM

Menteri Luar Israel, Israel Katz mengesahkan pemimpin Hamas, Yahya Sinwar terbunuh dalam serangan rejim itu.

“Pembunuhan Sinwar membuka kemungkinan pembebasan segera tebusan dan menyediakan laluan bagi perubahan yang akan membawa kepada realiti baharu di Gaza – tanpa Hamas dan tanpa kawalan Iran,” katanya dipetik BBC.

Koresponden keselamatan BBC, Frank Gardner, menggambarkan kematian Sinwar sebagai “tamparan besar” kepada Hamas.

“Apabila kumpulan itu memilihnya untuk menggantikan (Ismail) Haniyeh - pemimpin sayap politik mereka yang dibunuh pada 31 Julai lalu - ia adalah tindakan penentangan dan ketahanan yang disengajakan. Mereka tidak boleh memilih tokoh yang lebih keras.”

“Tetapi Hamas, seperti Hizbullah di Lubnan, menyaksikan kepimpinannya dibunuh satu demi satu, para pejuangnya terbunuh, dan tempat simpanan senjata mereka dimusnahkan,” tambah Gardner.

BBC memetik Pasukan Pertahanan Israel (IDF) yang mendakwa bahawa Sinwar dibunuh oleh tentera rejim itu dalam satu operasi di selatan Gaza pada Rabu.

Sebelum ini, BBC melaporkan bahawa pihak berkuasa Israel sedang mengesahkan kematian Sinwar melalui ujian DNA.

Sampel tersebut dibandingkan dengan rekod yang dimiliki Israel, memandangkan Sinwar pernah menjalani hukuman 22 tahun penjara di negara itu.

Menurut The Guardian, Sinwar, 61, dilahirkan di kem pelarian Khan Younis di selatan Gaza dan menyertai Hamas sejurus selepas kumpulan itu ditubuhkan.

Pada tahun 1989, dia dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup empat kali atas penculikan dan pembunuhan dua tentera Israel serta empat rakyat Palestin yang disyaki bersekongkol.

Pada Ogos, Sinwar dinamakan sebagai pengganti Ismail Haniyeh, yang dibunuh di Tehran, Iran.

Israel percaya Sinwar bertanggungjawab merancang dan melaksanakan serangan 7 Oktober 2023, yang mengorbankan lebih 1,200 orang dan mencetuskan konflik di Timur Tengah yang mengakibatkan lebih 40,000 rakyat Palestin terkorban.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS