Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Ingat setiap kali tidur malam' - Muda kecam MP sokong RUU isu kewarganegaraan
Diterbitkan:  Oct 17, 2024 8:52 PM
Dikemaskini: 12:52 PM

Pemangku presiden Muda Amira Aisya Abd Aziz mengecam ahli parlimen yang menyokong Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2024 mengenai hak kewarganegaraan.

“Saya harap setiap malam apabila anda tidur, anda ingat ini. Bahawa anda sebab masa depan yang sukar di hadapan kanak-kanak ini,” katanya di Facebook hari ini.

Awal hari ini, Dewan Rakyat meluluskan RUU berkenaan melalui undi blok.

Seramai 70 ahli parlimen membahaskan rang undang-undang itu pada peringkat bacaan kedua, diikuti undian blok selepas ucapan penggulungan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail hari ini.

Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul mengumumkan bahawa 206 ahli parlimen telah mengundi rang undang-undang itu, dengan hanya seorang ahli parlimen yang tidak setuju.

Dia berkata 14 ahli parlimen tidak hadir, dan seorang - Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) - telah digantung tugas.

Ahli parlimen yang menentang RUU itu ialah Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Pengkritik berhujah bahawa RUU itu mungkin menafikan kanak-kanak dengan status "pemastautin tetap" kewarganegaraan automatik.

Pindaan kontroversi lain termasuk satu untuk memendekkan tempoh bagi warganegara Malaysia tanpa kerakyatan untuk mendaftar kewarganegaraan daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Satu lagi pindaan boleh berakhir dengan membatalkan kerakyatan yang diberikan kepada isteri warga asing lelaki Malaysia jika wanita tersebut memutuskan untuk meninggalkan perkahwinan.

Mengulas lanjut, Amira berkata semasa kecil dia diajar bahawa “madani” membawa makna kemajuan dalam segenap aspek—pembangunan, pemikiran dan juga akhlak.

Bagaimanapun, kata Adun Johor itu, perkembangan yang berlaku di Dewan Rakyat hari ini, tiada kaitan dengan perkataan madani.

"Kita menyaksikan bukan sebuah Kerajaan Madani, tetapi sebuah kerajaan yang mundur, yang lebih cenderung memundurkan nasib rakyat daripada memperjuangkan hak mereka.

"Kerajaan ada dua pertiga yang sepatutnya digunakan untuk membela golongan terpinggir tetapi telah disalahgunakan untuk menindas mereka yang tiada suara—komuniti wanita dan anak-anak yang dipinggirkan.

"Di kala mereka yang paling memerlukan perlindungan undang-undang, kerajaan memilih untuk meminggirkan dan melemahkan komuniti ini, hancur sudah harapan dan hak mereka," kata Amira.

Mengulas mengenai perkara sama, Syed Saddiq berkata walaupun dia menyokong hak ibu yang melahirkan anak di luar negara untuk dianugerahkan kerakyatan automatik yang merupakan sebahagian RUU itu, dia kesal dengan tindakan kerajaan untuk menggandingkan peruntukan itu dengan pindaan regresif lain.

Bekas presiden Muda itu berkata pindaan itu akan mewujudkan masalah tiadak kewarganegaraan antara generasi di negara ini.

“Bolehkah anda bayangkan terdapat puluhan ribu Orang Asal yang dilahirkan di Malaysia atau di Sabah dan Sarawak hari ini, kerana halangan birokrasi dan kekurangan dokumentasi, masih dinafikan kewarganegaraan dan hanya mempunyai IC merah?

“Tetapi dengan pindaan hari ini, malah anak-anak mereka akan dinafikan hak institusi mereka untuk mendapat kerakyatan automatik.

"Kini mereka perlu melalui satu lagi proses halangan birokrasi... tidak lagi dianugerahkan kerakyatan secara langsung melalui Perlembagaan kita," keluh bekas menteri itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS