Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bukan sebulan tapi 2 bulan tunggakan - MBPJ jawab peniaga Pasar Jalan Othman
Diterbitkan:  Oct 17, 2024 8:22 PM
Dikemaskini: 12:22 PM

Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) tampil menjelaskan bahawa 47 peniaga yang premis dan gerai mereka disita di Pasar Besar Jalan Othman, Petaling Jaya, mempunyai tunggakan bayaran sewa selama dua bulan, bukan sebulan seperti didakwa.

Menurut pihak berkuasa tempatan (PBT) itu pihaknya mengadakan Operasi Penguatkuasaan Penyewaan pada 11 dan 14 Oktober 2024 di semua premis sewaan milik MBPJ.

"Hasil daripada operasi ini, sebanyak 25 unit premis sewaan di pasar awam dan 22 unit premis sewaan di gerai telah diarah tutup atas kesalahan tunggakan sewa.

"Kesemua premis yang disita ini mempunyai tunggakan sewa sebanyak dua bulan iaitu September dan Oktober 2024. Pihak MBPJ sebelum ini telah pun mengeluarkan tiga notis peringatan kepada penyewa untuk menjelaskan tunggakan sewa," kata MBPJ dalam kenyataan, hari ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan hampir 50 peniaga di Pasar Besar Jalan Othman melahirkan rasa kecewa dan tertekan ekoran tindakan yang didakwa drastik dan tanpa kompromi oleh PBT kerana isu tunggakan sewa.

Mereka mendakwa tindakan sita gara-gara sewa selama sebulan tertunggak itu sebagai tidak wajar. Tidak sekadar itu, mereka juga dikehendaki melunaskan bayaran berkenaan pada kadar segera.

Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Besar Jalan Othman, N Rajaratnam, berkata perkara itu memberi tekanan kepada peniaga kerana mereka perlu membuat permohonan baru sedangkan sudah berniaga di situ sejak sekian lama.

Mengulas lanjut, MBPJ memberitahu, prosedur penguatkuasaan yang dilaksanakan itu terkandung dalam dokumen perjanjian penyewaan yang telah dipersetujui dan ditandatangani di antara pihaknya dan penyewa.

"Pihak Majlis amat prihatin dan tindakan yang dilaksanakan ini adalah mengikut tatacara dan prosedur penyewaan yang telah ditetapkan.

"Kesemua penyewa yang telah ditamatkan penyewaan boleh memohon semula penyewaan premis berkenaan melalui laman sesawang atau hadir sendiri di kaunter Jabatan Penilaian Dan Pengurusan Harta, MBPJ," kata kenyataan itu lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS