Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
RUU pindaan kerakyatan: Golongan ibu pemenang terbesar - Saifuddin


Golongan ibu yang memperjuangkan hak kewarganegaraan bagi anak yang lahir di luar negara merupakan pemenang terbesar dengan lulusnya Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2024 mengenai hak kerakyatan di Dewan Rakyat hari ini.

Demikian kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail ketika diminta mengulas kejayaan kerajaan mendapat undian dua pertiga bagi RUU itu petang tadi.

"Saya percaya pemenang terbesar adalah kalangan kaum ibu yang lama memperjuangkan soal kewarganegaraan secara kuat kuasa undang-undang bagi anak yang lahir di luar negara.

"Jadi, saya mengharap kelulusan yang bersejarah ini akan membolehkan Kementerian Dalam Negeri membuat pelaksanaan mengikut panduan-panduan yang telah pun dipersetujui," katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu, RUU itu diluluskan melalui undi blok di Dewan Rakyat hari ini.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Johari Abdul mengumumkan seramai 206 ahli parlimen telah mengundi RUU itu, manakala seorang ahli parlimen mengundi tidak bersetuju.

Seramai 14 ahli parlimen tidak hadir manakala seorang lagi digantung tugas, katanya lagi.

Antara peruntukan penting di bawah pindaan itu adalah wanita warga Malaysia yang berkahwin dengan pasangan warga asing boleh mewariskan hak kewarganegaraan kepada anak mereka yang lahir di luar negara.

Sebelum ini, hanya lelaki warga tempatan yang berkahwin dengan wanita luar negara yang boleh mewariskan hak itu kepada anak mereka yang lahir di luar negara.

Kerajaan, pembangkang boleh kerjasama

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata RUU itu merupakan salah satu agenda reformasi yang signifikan yang berjaya dibawa kerajaan.

“Ia bagi memberi hak kepada yang berhak. Kita berganjak daripada peruntukan lama dan penuhi keperluan semasa bagi memastikan mereka yang layak diberi hak kewarganegaraan.

"Ini antara pelaksanaan agenda reformasi yang paling signifikan di bawah kerajaan sekarang,” katanya lagi.

Saifuddin juga menyuarakan keyakinan yang kerajaan dan pembangkang boleh terus berkerjasama dalam isu berkaitan kepentingan awam.

“Saya harus rakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh ahli parlimen yang mengundi untuk menyokong.

"Ini membuktikan dalam perkara yang melibatkan kepentingan rakyat, kerajaan dan pembangkang ada titik temunya. Kita mulakan dengan pindaan kewarganegaraan ini,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS