Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Malaysiakini serah nama 'ikan besar' pada menteri KDN
Diterbitkan:  Oct 17, 2024 6:15 PM
Dikemaskini: 10:32 AM

Malaysiakini menyerahkan tiga nama yang didakwa sebagai "ikan besar" di sebalik sindiket visa perubatan untuk membawa masuk warga asing ke negara ini.

Nama-nama itu diserahkan di bangunan parlimen di Kuala Lumpur  petang ini kepada Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, susulan permintaannya semalam.

Nama-mana itu melibatkan tiga ‘ikan besar’ dikenali sebagai Tok Yah atau Tok Ayah dan DK dan Adik serta tujuh lagi individu didakwa terlibat.

Daripada tujuh nama itu, empat nama daripada Jabatan Imigresen, seorang dari Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) dan dua lagi dari SPRM, termasuk seorang yang telah meninggal dunia.

Ia diserahkan oleh wartawan Meja Bahasa Malaysia Malaysiakini B Nantha Kumar yang menyiasat dakwaan sindiket itu melalui pelbagai sumber, termasuk kementerian kerajaan dan ejen terlibat.

Nantha Kumar berkata maklumat lapan muka surat itu diserahkan, diikuti dengan perbincangan ringkas bersama menteri.

Katanya, Saifuddin memberitahunya akan menyemak dan mengambil tindakan sewajarnya jika dakwaan itu didapati benar.

Pertemuan ringkas Saifuddin dan Nantha petang ini

Semalam, Saifuddin menggesa Malaysiakini membekalkan pihak berkuasa dengan tiga nama yang didakwa sebagai "ikan besar" di sebalik visa perubatan yang berjalan seiring dengan counter setting.

Ini susulan laporan eksklusif Malaysiakini yang menyebut bahawa “ikan besar” dalam skandal tersebut masih tidak disentuh di sebalik serbuan besar-besaran SPRM baru-baru ini.

Saifuddin berkata demikian setelah anggota parlimen Kepong Lim Lip Eng membangkitkan perkara itu dalam sidang Dewan Rakyat.

Semalam Saifuddin memberi jaminan akan menyerahkan sendiri maklumat dari Malaysiakini itu kepada SPRM.

Laporan Malaysiakini yang memetik pelbagai sumber menyebut Tok Yah sebagai kakitangan kerajaan yang memegang jawatan penting dalam salah sebuah agensi penguatkuasaan.

DK pula ialah ahli perniagaan dari Johor dan dibantu oleh seorang ahli perniagaan dikenali sebagai “Adik” yang menetap di Conezion, Putrajaya.

Dakwaan sindiket visa perubatan itu kini disiasat Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) melalui pembentukan pasukan khas.

Sindiket itu dikatakan membawa masuk warga asing atas alasan mendapatkan rawatan perubatan tetapi akhirnya menjalankan kegiatan lain seperti bekerja.

Malah, dakwa sumber, ada terlibat dengan kegiatan scam atau penipuan dengan bantuan orang tempatan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, bagaimanapun hari ini berkata dia tidak pernah mendengar tentang tiga nama yang disebut sebagai "ikan besar" itu.

Katanya, setelah menyemak dengan pegawainya, dia diberitahu bahawa “kod nama tiga-tiga ini tiada kena mengena dengan counter setting”.

Setakat ini, SPRM menahan 60 individu termasuk 50 pegawai agensi penguat kuasa yang disyaki terlibat dalam kegiatan counter setting di pintu masuk negara sejak 20 Ogos lepas.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS