Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PARLIMEN | Semua permohonan bagi mendapatkan kewarganegaraan yang belum selesai akan diputuskan selewat-lewatnya pada 17 Oktober tahun depan, maklum Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail.

Dia berkata ini bagi membolehkan tidak ada lagi baki kes permohon tertunggak terus dibiarkan bertangguh bertahun-tahun.

"Komitmen KDN (Kementerian Dalam Negeri) adalah 17 Okt tahun depan, semua permohonan yang belum selesai akan kita buat keputusan dibuat. Kita akan buka kitab baru,” katanya.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata pada masa ini KDN sudah memproses lebih 19,300 permohonan tahun ini, melepasi sasaran awalnya iaitu 17,000.

“Sehingga semalam, saya telah meluluskan 19,317 permohonan, dan jika kita masukkan jumlah tahun lepas, itu menjadikan 32,153 keputusan (permohonan kewarganegaraan) dibuat,” katanya ketika pada sesi penggulungan rang undang-undang (RUU) pindaan kewarganegaraan di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Saifuddin, 80 peratus daripada kelulusan tersebut untuk kes yang belum selesai selama lebih lima tahun.

Katanya, Prosedur Operasi Standard (SOP) pengendalian kes rumit seperti anak luar nikah dan anak angkat turut dilakukan.

“Kami kini telah memuktamadkan SOP untuk Seksyen 15A dan 19(1) (Perlembagaan Persekutuan), yang melibatkan kewarganegaraan melalui pendaftaran dan naturalisasi.

"SOP ini akan memastikan proses itu telus dan pemohon diberitahu terlebih dahulu mengenai dokumen yang diperlukan,” katanya.

Saifuddin berkata tidak akan ada lagi masa menunggu untuk pemohon dan akan diberitahu lebih awal jika permohonan mereka ditolak.

“Dengan SOP baharu, pemohon akan mengetahui lebih awal jika dokumen mereka tidak lengkap, mengurangkan risiko penolakan selepas menunggu lama,” tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS