Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
206 lwn satu - Dewan Rakyat lulus RUU pindaan perlembagaan isu kerakyatan

PARLIMEN | Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2024 mengenai hak kerakyatan telah diluluskan melalui undi blok di Dewan Rakyat hari ini.

Rang undang-undang itu dibahaskan oleh 70 ahli parlimen pada peringkat bacaan kedua, diikuti undian blok selepas ucapan penggulungan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail hari ini.

Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul mengumumkan bahawa 206 ahli parlimen telah mengundi RUU itu, manakala seorang ahli parlimen mengundi tidak bersetuju.

Dia berkata 14 ahli parlimen tidak hadir, dan seorang digantung tugas.

RUU itu juga dibentangkan untuk bacaan ketiga dan sekali lagi dimasukkan ke dalam undian blok, dengan keputusan yang sama diumumkan oleh Johari.

Dibentang untuk bacaan pertama pada Mac lalu, pindaan ini bertujuan menangani pelbagai isu berkaitan kerakyatan.

Antaranya dua pindaan yang memberi hak yang sama kepada wanita warga Malaysia untuk mewariskan status kerakyatan kepada anaknya yang lahir di luar negara.

Untuk hak itu, pindaan dibuat pada Perkara 14(1)(b), Seksyen 1(b) Bahagian II Jadual Kedua dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tiga lagi pindaan yang dicadangkan adalah:

  • Seksyen 1(a) Bahagian II Jadual Kedua bagi membuang frasa “bermastautin secara tetap”.

  • Perkara 26(2) bag menggantikan frasa “dari tarikh perkahwinan” kepada “dari tarikh mendapat warganegara”.

  • Perkara 15A dan Perkara 19(2) bagi mengurangkan had umur untuk permohonan kerakyatan, daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Pada Mac lalu, Kementerian Dalam Negeri memadamkan cadangan pindaan ke atas Seksyen 19B Bahagian III Jadual Kedua dan Seksyn 1(e) bahagian sama, berkenaan hak kerakyatan untuk anak terdampar.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS