Paling Popular
Terkini

PARLIMEN | Ketua pembangkang Hamzah Zainudin tampil mempertahankan Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail kerana memberi kelulusan permohonan kewarganegaraan dalam jumlah yang besar sepanjang mengetuai Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Ketika perbahasan di Dewan Rakyat hari ini, pemimpin Bersatu itu berkata dia yakin kelulusan yang dibuat KDN telah melalui proses yang sepatutnya.

“Tidak (setuju dakwaan kewarganegaraan diberikan dengan mudah). Saya tidak beranggapan sebegitu rupa, saya rasa menteri buat berdasarkan merit yang ada.

“Pada saya, siasatan telah dilakukan dan insya-Allah bila siasatan telah dilakukan perlu lulus kita luluskan berdasarkan merit dan saya percaya menteri memberikan kewarganegaraan ini berdasarkan merit dia layak,” kata Hamzah yang juga ahli parlimen Larut.

Hamzah mengulas pertanyaan Ahli Parlimen Hulu Terengganu Rosol Wahid (gambar atas) yang bangkit mencelah meminta Hamzah menjelaskan jika dia setuju permohonan kerwarganegaraan dibuat dengan mudah dan murah.

Terdahulu, Rasol (PN-Hulu Terengganu) bangkit bertanyakan pandangan Hamzah sekiranya tindakan menteri meluluskan kerakyatan kepada lebih 30,000 permohonan menampakkan seolah-olah kerakyatan Malaysia begitu 'mudah dan murah'.

Bagaimanapun, Hamzah yang juga bekas menteri dalam negeri menjelaskan Malaysia negara berdaulat dan tidak akan memberikan kerakyatan dengan mudah.

Katanya, kelahiran di Malaysia tidak menyebabkan seseorang memperoleh kewarganegaraan secara automatik.

Hamzah selanjutnya berkata dia menyokong apa yang dilakukan kerajaan kerana apa yang diusahakan itu ada dalam manisfesto pilihan raya PN.

“Kadang kala saya hairan apabila ada pihak yang kata kita perlu mudahkan untuk dapatkan kewarganegaraan ini. Apa yang kita mesti layan orang luar yang nak jadi warganegara?

“Sepatutnya kita mesti menentukan apa yang kita ingin lakukan ini harus menjaga kedaulatan dan maruah sesiapa saja yang sudah menjadi rakyat Malaysia.

"Tapi apa yang kita perlu lihat di sini adalah apabila kerakyatan itu telah diberikan dan kita sokong ini bila ibu atau bapa yang ibunya melahirkan di luar negara dulu-dulu kita tak bagi tapi sekarang kita sokong kerana apa?

"Kerana manifesto PN mahu memberikan taraf anak-anak ini sebagai warganegara,” katanya.

Oleh demikian, Hamzah berkata tidak salah untuk pihaknya menyokong tindakan meluluskan permohonan kewarganegaraan itu "demi kepentingan dan masa depan negara."

“Saya ingat isu adalah kerana nak pastikan supaya semua rakyat mesti atau sesiapa sahaja yang tinggal dalam negara mesti ada dokumen, ada identiti, kerana soal keselamatan sebagai contoh.

“Saya faham bahawa Malaysia ini sebuah negara yang dikelilingi hutan, sempadannya mudah untuk dicerobohi maka sebab itu apa yang dilakukan ini adalah sesuatu yang baik untuk masa depan negara dan ini pada saya tidak salahnya pada kami untuk menyokongnya,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS