Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
GISBH: Kementerian siasat isu video tular pegawai JKM jumpa ibu bapa
Diterbitkan:  Oct 17, 2024 5:17 PM
Dikemaskini: 9:17 AM

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sedang menyiasat video tular yang dikatakan memaparkan pertemuan antara keluarga yang dikaitkan dengan kanak-kanak yang diselamatkan daripada Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) dan seorang pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Dalam video itu, pegawai JKM itu antara lain mendakwa tidak menemui sebarang unsur penderaan ke atas kanak-kanak yang diselamatkan dari salah satu rumah kebajikan GISBH.

“Kementerian memandang serius kes yang telah tular di media sosial berkenaan satu rakaman pertemuan (pegawai) pelindung kanak-kanak dengan ibu atau bapa kanak-kanak kes GISBH.

"Pihak JKM sedang melakukan siasatan dalaman terperinci bagi memastikan tindakan sewajarnya boleh diambil," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam video tular itu, pegawai itu memberitahu ibu bapa berkenaan bahawa ketika pasukannya mula-mula tiba di salah sebuah rumah kebajikan GISBH untuk pemeriksaan, mereka mendapati tiada unsur penderaan.

“Hari pertama lagi kitorang datang, kitorang dah check, betul? Kalau tanya saya, saya selaku pegawai yang ada pada masa itu, yang ambil gambar, saya tengok budak, saya minta pegawai saya buat pemeriksaan pada budak, di badannya da tak kesan-kesan dera, tak ada. Kita pun tak buat laporan bahawa berlaku penderaan kepada budak ini

"Kalau misal pada hari kita datang itu memang ada kesan, contoh ada kesan rotan ke, kesan kena belasah kat belakang ke, yang itu memang kita akan terus buat report polis.

"Hari pertama yang kita pergi tu, memang tak ada. Saya pun dah bagitahu dengan polis sekarang ini kita mendapati berlaku sebarang penderaan pada budak ini. Cuma kalau dari segi isu pengabaian, itu saya tak pasti," kata pegawai itu.

Sehubungan itu, kementerian berkata setakat 14 Okt lepas, 560 kanak-kanak yang diselamatkan telah ditempatkan di rumah selamat selepas JKM mendapat hak penjagaan sementara daripada mahkamah untuk dua bulan akan datang di bawah Seksyen 25(2) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Ia menambah bahawa kanak-kanak itu mesti berada di bawah perlindungan JKM buat masa ini kerana siasatan sedang dijalankan.

"Matlamat akhir bagi penempatan dan penjagaan kanak-kanak terlibat adalah kembali ke pangkuan keluarga," kata kenyataan kementerian itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS