Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lengah tangani kes serangan 'cemar' institusi diraja - Zaid

Tindakan yang kelihatan tidak tegas terhadap dua kes serangan boleh mencemarkan reputasi institusi diraja, kata Zaid Ibrahim.

Merujuk insiden seorang pekerja pembinaan jalan yang ditikam dan ditembak di Kuantan, serta kes pemandu e-hailing OKU ditampar di muka, bekas menteri undang-undang ini berkata Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah telah meminta tindakan diambil terhadap pesalah.

“Namun, pihak berkuasa nampaknya berlengah-lengah sehingga mencemarkan nama baik institusi diraja.

“Ini biadab. Kedua-dua Tengku Hassanal dan Tunku Ismail telah menyatakan dengan jelas pesalah perlu dibawa ke muka pengadilan.

“Tidak menghormati institusi diraja itu salah satu daripada kesalahan '3R' (kaum, agama dan raja-raja),” katanya kepada Malaysiakini.

Zaid mengulas laporan Malaysiakini hari ini yang memetik Awang Alias, mangsa kejadian di Kuantan, yang meluahkan rasa kesal kerana tiada tindakan diambil terhadap mereka yang menyerangnya pada 6 Jun.

Pada 5 September, Malaysiakini melaporkan bapa kepada lapan orang anak berusia 44 tahun itu mendakwa seorang kerabat diraja Pahang terlibat dalam insiden tersebut.

Susulan itu, Tengku Hassanal menyeru pihak polis menjalankan siasatan menyeluruh, dengan menyatakan tiada sesiapa yang berada di atas undang-undang.

"Saya mahu tindakan tegas dan siasatan yang adil, tanpa sebarang kompromi.

"Tiada sesiapa pun yang lebih tinggi dari undang-undang, termasuk kerabat diraja," titah baginda.

Pada 20 September, Ketua Polis Pahang Yahaya Othman berkata kertas siasatan telah dirujuk kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut.

Mengulas lanjut, Zaid berkata kelewatan mendakwa pelaku yang didakwa boleh menimbulkan tanggapan titah Tengku Hassanal dan Tunku Ismail hanyalah sekadar retorik.

"Saya yakin mereka berdua ikhlas dengan kenyataan mereka. Jadi, untuk memastikan nama baik mereka tidak tercemar, pihak berkuasa mesti memastikan keadilan ditegakkan.

"Jika tidak, akan timbul persoalan bagaimana pihak berkuasa boleh mendakwa orang lain dengan cepat tetapi melambatkan kes di mana institusi diraja sendiri meminta tindakan segera diambil.

"Oleh itu, saya menggesa Tengku Hassanal dan Tunku Ismail untuk menuntut jawapan daripada pihak berkuasa dan memastikan tuntutan mereka untuk menegakkan keadilan diambil serius," tambahnya.

Pada 31 Mei, Tunku Mahkota Johor berkata dia tidak menyokong sebarang tindakan yang melanggar undang-undang selepas berita tersebar dakwaan seorang anggota polis pengiringnya menyerang Ong Ing Keong, seorang pemandu e-hailing OKU pendengaran, tiga hari sebelumnya di luar sebuah hotel di Kuala Lumpur, ketika dia sedang menjemput penumpang.

"Saya tidak membenarkan sebarang tindakan atau ugutan yang menyalahi undang-undang.

"Saya menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat secara menyeluruh berkaitan kejadian seorang pegawai polis pengiring yang didakwa melakukan perbuatan berbahaya.

“Saya berharap pihak berkuasa akan mengambil tindakan mengikut undang-undang dan memberi keadilan sebaiknya kepada mangsa,” titah Tunku Ismail.

Ong dan peguamnya juga telah menyerahkan rakaman dashcam insiden serangan itu kepada polis, yang kemudian menyerahkan kertas siasatan mereka kepada Pejabat Peguam Negara pada 5 Jun dan kemudian pada 27 Julai lalu.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS