Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Maszlee bocorkan memo larang ahli akademik burukkan kerajaan
Diterbitkan:  Oct 17, 2024 3:53 PM
Dikemaskini: 7:53 AM

Bekas menteri pendidikan Maszlee Malik membocorkan memo dalaman daripada Jabatan Pendaftar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Dalam perkongsian di X, pemimpin jawatankuasa pusat PKR itu berkata dia menerima dokumen berkenaan daripada rakan akademik yang mesejnya berbunyi:

“Tuan, harap anda sihat. Hari yang menyedihkan bagi ahli akademik Malaysia di mana Akta 605, pembunuh kebebasan akademik sebenar, telah diterjemahkan ke dalam tindakan. Secara teknikalnya semua penyelidik dasar di UKM diisytiharkan pekerjaan mereka sebagai sulit.”

Memo bertarikh 8 Okt itu mengingatkan ahli akademik supaya tidak membuat kenyataan awam, termasuk di media sosial, melainkan dibenarkan atau diberi mandat berbuat demikian.

Ia menyatakan bahawa peringatan kepada semua pegawai awam datang daripada Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar melalui mesyuarat pengurusan Jabatan Perdana Menteri 2024.

"Jika disabitkan dengan kesalahan dan mengingkari mana-mana peraturan yang sedang berkuat kuasa tindakan tatatertib boleh dikenakan kepada pegawai awam yang terlibat," kata memo itu.

Memo itu menambah bahawa semua penjawat awam, termasuk dari badan berkanun, dilarang membuat kenyataan awam, sama ada dalam bentuk lisan, bertulis atau lain-lain, yang disifatkan boleh memudaratkan dasar, rancangan atau keputusan oleh mana-mana badan berkanun atau kerajaan mengenai sebarang isu.

Selain itu, memo berkenaan menjelaskan bahawa turut dilarang adalah kenyataan yang disifatkan memalukan atau memburukkan, membuat ulasan mengenai sebarang kelemahan dalam dasar, rancangan dan keputusan oleh badan berkanun atau kerajaan, atau mengedarkan sebarang kenyataan atau komen yang dibuat oleh diri sendiri atau orang lain.

Memo itu menegaskan bahawa sekatan itu dinyatakan dengan jelas dalam Peraturan 18(1) dan 18(2), Akta Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 (Akta 605).

Bulan lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang pentadbirannya menangani polemik sekitar 3R (kaum, agama, dan royalti), berkata bahawa ahli akademik tidak akan dihalang daripada bercakap mengenai topik sensitif ini, tetapi mesti ada hadnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS