Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Timb ketua menteri Sabah gesa tubuh suruhanjaya RUU kewarganegaraan

PARLIMEN | Sebarang pindaan dalam rang undang-undang (RUU) pindaan kewarganegaraan perlu mematuhi Perjanjian 18 bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), tegas seorang pemimpin Sabah.

Ketika perbahasan di Dewan Rakyat hari ini, Ahli Parlimen Keningau Jeffrey Kitingan yang juga timbalan ketua menteri Sabah berkata RUU tersebut penting kerana ia menyentuh hak kewarganegaraan Malaysia khasnya untuk Sabah dan Sarawak yang bersetuju membentuk Malaysia sebelum ini.

“Kewarganegaraan Sabah dan Sarawak telah dipersetujui seperti terkandung dalam Perkara 10 yang kini dimasukkan dalam Perlembagaan melalui definisi Persekutuan dalam Perkara 160 (2) pada Disember 2021 termaktub dalam Perkara 14 Bahagian 3 Perlembagaan melalui perundangan untuk rakyat Sabah dan Sarawak pada Hari Malaysia serta peruntukan yang lain yang dibaca bersama dengan Jadual Kedua.

“Keadaan ini harus dikekalkan untuk Sabah dan Sarawak kerana apa-apa pindaan mengenai kewarganegaraan perlu persetujuan Sabah dan Sarawak,” katanya.

Jeffrey berkata sekiranya kerajaan bertegas mahu meneruskan pindaan kewarganegaraan itu, suruhanjaya atau jawatankuasa khas untuk Sabah dan Sarawak perlu diwujudkan.

“Saya cadangkan satu mekanisme melibatkan peranan Sabah dan Sarawak seperti mewujudkan suruhanjaya atau pun jawatankuasa kewarganegaraan Sabah dan Sarawak dengan menetapkan SOP (prosedur operasi standard) yang jelas sebagai rujukan pemberian kewarganegaraan kepada rakyat Sabah dan Sarawak.

“SOP itu harus bagi menangani ketidakkonsistenan pemberian kad pengenalan yang ada sekarang, yang mana ada yang diberi dan ada yang ditolak (permohonannya),” katanya.

Jeffry berkata saranan tersebut perlu susulan ‘Projek IC’ yang didakwa melibatkan memberikan kad pengenalan kepada hampir 1.5 juta pendatang tanpa izin (Pati) ketika pentadbiran Dr Mahathir Mohamad telah mengubah demografi Sabah.

“Rakyat Sabah mesti waspada, masih berwaspada dan curiga kepada kerajaan pusat mengenai kewarganegaraan Sabah akibat tindakan buruk yang lalu seperti Projek IC dan menafikan kewarganegaraan orang asal Sabah dan Sarawak melalui tindakan Jabatan Pendaftaran Negara.

“Pemberian kad pengenalan kepada Pati tidak mengikut undang-undang adalah satu penemuan oleh RCI mengenai pendatang asing di Sabah. Laporan RCI juga menyatakan bahawa orang tidak layak berdaftar sebagai pengundi dan kita juga kerap kali mendengar kejadian dimana Pati ditangkap dengan kad pengenalan palsu.

“Oleh demikian saya minta kerajaan Madani semak semula kad pengenalan yang dikeluarkan dalam keadaan meragukan dan mengambil tindakan yang sewajarnya kepada pemegang kad pengenalan yang diragui ini,” katanya.

Selain itu, Jeffrey juga membangkitkan kebimbangan berhubung pindaan yang membenarkan kewarganegaraan melalui ibu atau bapa.

“Untuk apa-apa pindaan kepada perlembagaan atau cadangan pindaan haruslah progresif bukan agresif dan daripada cadangan pindaan hanya satu saja yang progresif iaitu untuk menurunkan kewarganegaraan melalui ibu atau bapa dan bukannya (hanya) bapa.

“Malangnya untuk cadangan pindaan yang lain ianya boleh menghakis dan meminggirkan hak kewarganegaaan untuk rakyat Sabah dan Sarawak yang berhak mendapatkan kewarganegaraan melalui pindaan perundangan yang menukar cara ini kepada pendaftaran adalah melanggar janji-janji kewarganegaraan kepada Sabah dan Sarawak,” katanya.

Oleh demikian, Jeffrey berkata dia menuntut peruntukan itu tidak terpakai untuk Sabah dan Sarawak.

Dalam sidang media Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail semalam berkata berkata panel kerajaan yang ditugaskan untuk mempertimbang perlucutan status kewarganegaraan tidak akan sehingga menyebabkan mana-mana individu itu tiada kerakyatan.

Saifuddin berkata pihaknya memberi jaminan bahawa segala pindaan yang dicadang ini adalah tepat pada masa, landskap dan dinamika persekitaran sekarang.

Malah, tegasnya segenap perihal dasar dan tatacara ke arah perbahasan oleh ahli Parlimen juga sudahpun dipenuhi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS