Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
NGO cadang MP guna alasan sakit perut tak hadir undian RUU kontroversi
Diterbitkan:  Oct 17, 2024 2:34 PM
Dikemaskini: 2:23 PM

Gabungan NGO mahu kerajaan menangguhkan pindaan undang-undang kewarganegaraan dan rang undang-undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan, serta merujuknya kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) terlebih dahulu.

Menyedari bahawa rayuan mereka mungkin tidak akan didengari, NGO itu juga telah mencadangkan cara untuk ahli parlimen yang tidak bersetuju dengan pindaan berkenan menghalang ia daripada diluluskan.

“Adalah penting untuk mengambil perhatian bahawa undang-undang antilompat parti, iaitu Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, tidak mengosongkan kerusi mana-mana ahli parlimen yang menentang whip parti mereka, kecuali untuk ahli DAP, Amanah dan Bersatu, yang pindaan perlembagaan partinya mempunyai klausa tidak demokratik yang meliputi semua ketidakpatuhan arahan parti.

“Namun, untuk ahli parlimen DAP, Amanah dan Bersatu sekalipun, perlembagaan parti mereka tidak boleh menghukum mereka melalui Perkara 49A sekiranya mereka tidak hadir apabila rang undang-undang kontroversi berkenaan diundi jika alasan mereka adalah kerana kecemasan perubatan - sama ada sakit dada, tekanan darah tinggi yang melampau, atau sakit perut akut - atau terperangkap oleh banjir.

"Kadangkala, kesulitan hanyalah campur tangan takdir," kata Kumpulan Seed Community For A Professional Parliament dalam satu kenyataan hari ini.

Kumpulan ini terdiri daripada beberapa kumpulan antaranya Projek Sama, Bersih, Ideas, dan Undi18.

Rang undang-undang pindaan kewarganegaraan - yang merupakan pindaan perlembagaan - diundi pada hari ini.

Sebagai pindaan perlembagaan, ia akan memerlukan dua pertiga daripada semua 222 Ahli Parlimen untuk mengundi menyokong untuk diluluskan.

Kerajaan mempunyai sokongan dua pertiga, tetapi jika ada penyokong tidak hadir dalam undian, maka rang undang-undang itu tidak boleh diluluskan.

Pengkritik terus menyatakan kebimbangan bahawa rang undang-undang itu boleh menyebabkan mereka yang sepatutnya menjadi warganegara, menjadi tidak bernegara.

Sementara itu, perbahasan RUU Mufti Wilayah Persekutuan dijangka berlangsung selepas pengundian rang undang-undang kewarganegaraan hari ini.

Bagaimanapun, dalam perkembangan terbaru, seruan NGO itu tidak berjaya kerana Dewan Rakyat meluluskan rang undang-undang pindaan berkenaan melalui undian blok.

Sebanyak 206 ahli parlimen mengundi menyokong pindaan itu, dan hanya seorang yang mengundi tidak bersetuju.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS