Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
NGO: Tak perlu guna Sosma siasat GISBH
Diterbitkan:  Oct 17, 2024 2:05 PM
Dikemaskini: 6:05 AM

Tiada keperluan untuk menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) untuk menahan semula 58 orang yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH), kata Suaram.

Suaram berkata, polis sepatutnya cukup masa untuk mengumpul maklumat bagi membolehkan pertuduhan dibuat bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Kanun Keseksaan.

Kumpulan hak asasi manusia itu berkata mahkamah telah pun memberikan tambahan masa reman. 

“Justeru itu, tiada keperluan yang sah untuk menggunakan Sosma dalam kes ini,” kata Suaram.

Pada 10 Oktober, polis mendedahkan mereka menahan semula 16 individu, termasuk kepimpinan GISBH bawah Sosma pada hari sama dilepaskan susulan siasatan terhadap dakwaan eksploitasi agama dan kanak-kanak.

Setakat ini seramai 58 orang ditahan Sosma sejak polis melancarkan operasi gempur besar-besaran terhadap GISBH mulai bulan lepas.

Dilaporkan keseluruhan 415 orang ditahan dan 625 mangsa antara umur dua bulan hingga 28 tahun diselamatkan.

Terdahulu, anggota parlimen lantang PKR Hassan Abdul Karim turut menyelar penggunaan Sosma yang disifatkannya sebagai “melampau”.

Pemimpin GISBH menafikan semua dakwaan terhadap mereka, termasuk mengamalkan ajaran sesat, mengeksploitasi kanak-kanak dan dakwaan jenayah liwat berlaku di rumah amal mereka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS