Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri dedah satu lagi kes doktor mati disyaki dibuli di Pulau Pinang

PARLIMEN l Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad hari ini mendedahkan bahawa satu lagi kes kematian membabitkan pengamal perubatan di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang, yang didakwa berpunca akibat dibuli ketika dalam perkhidmatan.

Katanya, Kementerian Kesihatan sedang menyiasat kes itu dan sedang menunggu hasil siasatan dalaman, sebelum membuat keputusan sama ada untuk membentuk pasukan petugas bebas yang berasingan.

Dzulkefly Ahmad

"Saya maklum ada pihak mendakwa KKM lewat mengambil tindakan bagi membendung kes buli dalam kalangan pengamal perubatan, tetapi kementerian sebenarnya terus membuat siasatan dalaman sejurus menerima aduan, sama seperti dilakukan pada 2018,” katanya ketika sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

"Ini termasuk kes yang tidak diketahui Yang Berhormat di mana ada kes kematian di Hospital Seberang Jaya, dikatakan akibat dibuli.

“Dan saya sedang menunggu dapatan daripada siasatan dalaman yang dilakukan," katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat).

Semalam, The Star melaporkan Dr Ch’ng Hooi Ping, 31, ditemui mati di dalam keretanya di tempat letak kereta hospital Seberang Jaya pada 27 Jun lalu, dengan punca kematian dinyatakan akibat cecair di paru-paru.

Menurut laporan itu, Ch'ng pernah berkhidmat di jabatan pediatrik hospital tersebut dan tidak mempunyai sebarang sejarah masalah kesihatan.

Menurut kakaknya, yang dikenali sebagai "Dr K", keluarga itu percaya bahawa kematian itu berpunca akibat kerja berlebihan dan keletihan susulan waktu rehat yang tidak mencukupi berikutan tugasan sehingga 30 jam.

Bagaimanapun, Dzulkefly hari ini berkata dia tidak akan cepat membuat kesimpulan sementara menunggu hasil siasatan dalaman.

“Terutama apabila kita melihat isu kekurangan tenaga kerja di Hospital Seberang Jaya mungkin ini tidak benar, ia adalah sebaliknya.

“Terdapat keperluan untuk 25 pegawai perubatan di hospital itu, dan terdapat 30 di sana.

“Ini jika dibandingkan dengan hospital lain contohnya di Alor Setar atau Sungai Petani yang mengalami kekurangan sebenar,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS